Baru-baru ini tular satu video menunjukkan sebuah Perodua Kancil dan Proton Saga diletakkan di atas sebuah bumbung rumah di Kampung Matang Bonglai Kechil, Ayer Hitam.

Video berdurasi 21 saat yang dimuat naik TikTok @anaksulong33 mendapat pelbagai reaksi warganet.

Ramai tertanya-tanya kenapa pemiliknya meletakkan kereta tersebut di atas bumbung.

@anaksulong33

Santai kawan😂 #fypシ #fypシviralシ2024

♬ suara asli – penjahatmemee – penjahatmemee

Memetik Harian Metro, pemiliknya berkata tujuan beliau parkir kedua-dua kereta tersebut di atas bumbung buat sementara waktu kerana mahu memasang khemah untuk majlis kenduri cucu saudaranya.

“Saya tak sangka benda ini akan ditular di media sosial kerana niat saya hanya nak parking sementara dua buah kereta di atas bumbung rumah untuk memasang khemah bagi majlis kenduri semalam.

“Namun ada yang datang dari jauh termasuk dari Pulau Pinang hanya untuk mengambil gambar kereta Perodua Kancil dan Proton Saga di atas bumbung rumah saya ini,” kata Awang Ali Abdullah, 64.

Difahamkan oleh kerana tiada ruang parkir, beliau menggunakan kren bagi mengangkat kereta Perodua Kancil dan Proton Saga itu dengan bantuan anak-anak saudara yang lain.

Oleh kerana ramai teruja melihat situasi itu, Awang Ali bercadang untuk membiarkan dua kereta itu di atas bumbung rumahnya dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi untuk memberi peluang orang ramai merakam gambar.

Tambah beliau lagi, kedua-dua kereta tersebut masih boleh bergerak dengan elok walaupun sudah digunakan sejak 10 tahun lalu.