Program Perumahan Rakyat merupakan satu inisiatif kerajaan Malaysia untuk menyediakan tempat kediaman yang layak, selesa, dan mampu milik kepada golongan berpendapatan rendah (B40).

Bagaimanapun, masih ramai individu atau keluarga yang memandang remeh perihal bayaran sewa bulanan sehingga memaksa pihak berkuasa mengambil tindakan serius.

Sangkaan seorang penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) bahawa tunggakan sewa selama tiga bulan masih dalam kategori ‘selamat’ meleset sama sekali.

Dia meluahkan rasa terkedu apabila menerima notis pengusiran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) secara tiba-tiba.

“DBKL sekarang ni garang weh. Sewa PPR tak bayar 3 bulan je dh kena notis keluar rumah,” tulis pengguna @tatanyapun.

Untuk menguatkan lagi hujahnya tentang tindakan keras yang diambil pihak DBKL, terdapat gambar notis tertera rampasan unit jirannya pada bulan 16 Februari lalu.

'Tak Bayar 3 Bulan Je' - Penyewa PPR Terkedu Dapat Notis Pengosongan Daripada DBKL
Sumber Gambar: Threads

Kisah ini mencetuskan perdebatan hangat di media sosial yang mana majoritinya meluahkan rasa berang terhadap penyewa berperangai sedemikian dan digelar sebagai tidak bersyukur dengan kelebihan yang diterima.

Seorang netizen meminta individu tersebut untuk membuat refleksi diri kerana ramai lagi warga tempatan yang lebih memerlukan dan sanggup membayar sewa bulanan tersebut kerana kadarnya yang murah berbanding rumah sewaan di luar sana.

Seorang pakar kewangan turut memberi pandandangan peribadi dengan mempersoalkan sifat pentingkan diri sendiri oleh sejumlah penyewa PPR yang merasakan boleh menetap tanpa bayaran dan berharap tidak dikenakan tindakan.

Ada yang berpendapat sepatutnya kerajaan mengetatkan lagi tempoh tunggakan sewaan agar lebih ramai mengambil cakna dan bayar sewaaan mengikut tarikh yang ditetapkan.

'Tak Bayar 3 Bulan Je' - Penyewa PPR Terkedu Dapat Notis Pengosongan Daripada DBKL
Sumber Gambar: Threads

Dalam perkembangan berikutnya, individu terbabit menjelaskan perkara sebenar sebab bayaran sewa tertunggak berlaku kerana meminta orang lain untuk menguruskannya namun tidak dipenuhi.

Oleh itu, dia mengambil pendekatan untuk menyelesaikan sendiri pembayaran itu selepas ini dan telah membayar secara advanced sebagai langkah berjaga.