Semalam tular satu klip video menunjukkan seorang kanak-kanak menghisap vape secara terbuka di sebuah restoran.

Pada ketika itu kanak-kanak tersebut sedang duduk semeja bersama beberapa orang dewasa. Bagaimanapun tindakan kanak-kanak itu langsung tidak diendahkan mereka.

Baca Juga:

Klip video yang dirakam akaun X.com @KulupFans mendapat pelbagai reaksi warganet. Rata-rata ramai yang terkejut melihat kanak-kanak semuda itu sudah mengenali dan berani mendekati vape.

Netizen meminta pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas kepada mana-mana ibubapa atau penjaga yang gagal mengawal kanak-kanak di bawah jagaan mereka daripada mencuba vape.

Orang ramai turut menyalahkan pengusaha, penjual dan influencer yang mempromosikan vape secara terbuka dan besar-besaran. Sekaligus menyebabkan kanak-kanak yang mudah terpengaruh ingin mencuba ‘rokok elektronik’ itu.

Terdahulu, hasil satu kajian menunjukkan orang ramai menyokong pelaksanaan Generational Endgame (GEG) & Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata pembentangan RUU itu adalah bagi memastikan terdapat kawalan menyeluruh terhadap sediaan nikotin atau gel mengandungi nikotin di dalam cecair rokok elektronik atau vape.

Dr Zaliha, berkata KKM akan mempergiatkan kempen advokasi kesedaran bahaya merokok termasuk penggunaan rokok elektronik atau vape melalui Pelan Generational Endgame Anti Rokok (GEGAR).

Warganet berharap pelaksanaan GEG dan RUU dapat dilaksanakan secepat mungkin agar generasi baharu bebas daripada produk nikotin.