Dunia masakan media sosial kecoh seketika apabila pempengaruh masakan terkenal, Che Sayang Kitchen, menjadi sasaran kecaman segelintir netizen.

Semuanya bermula apabila beliau berkongsi resipi yang dianggap tidak mengikut cara tradisional atau “tak authentic” oleh sesetengah pihak.

Seorang netizen yang berpegang teguh pada cara masakan lama mendakwa versi Che Sayang telah “menderhaka” kepada resipi asal kerana tidak menggunakan bahan sebenar.

Difahamkan jika ikut resepi sebenar, harga bahan yang diperlukan sememangnya akan memakan modal yang agak tinggi sekaligus tidak boleh diikuti secara langsung oleh orang ramai.

Walau bagaimanapun, keadaan menjadi lebih menarik apabila rakan seperjuangan, Khairul Aming (KA), tampil memberikan sokongan padu.

Di dalam hantaran platform X itu, walaupun mesejnya cukup ringkas tetapi cukup berbisa buat yang mengecam rakannya itu.

“Resipi ni guna 4 bahan, 3 bahan boleh di beli di kedai tapi ada 1 bahan yang takkan boleh beli walau dengan duit sebanyak mana sekalipun,” pesan ringkas yang ditinggalkan.

Menerusi video yang dikongsikan, ia cukup memberi gambaran yang jelas bukanlah resepi asli yang dikejar oleh orang ramai tetapi mampu meraikan semangat kekeluargaan dan perpaduan di kalangan masyarakat itu jauh lebih bernilai dan bermakna.

Kita pun sedia maklum KA dan Che Sayang hanya menyediakan resepi-resepi ringkas yang boleh diikuti oleh rakyat marhaen tanpa perlu berbelanja besar untuk menyiapkan sesebuah juadah yang diajar.

Oleh itu, orang ramai turut memuji akan sikap KA yang prihatin dan sedia mempertahankan rakan seperjuangan.