Nama Malaysia kini sedang menjadi ‘top pick’ dalam senarai strategi peniaga China untuk elak cukai import Amerika Syarikat (AS) yang melambung tinggi.

Tapi sayangnya, ia bukan dalam konteks yang membanggakan.

Menurut laporan Malay Mail, broker penghantaran berpengkalan di China dikesan menggunakan laluan Malaysia untuk menyalurkan produk ke AS, sambil mendakwa bahawa barangan tersebut ‘Made in Malaysia’ bagi mengelak cukai yang mencecah sehingga 145 peratus.

Peniaga China

Modus operandi ini semakin rancak selepas bekas Presiden AS, Donald Trump, kembali mengetatkan tarif ke atas barangan dari China awal bulan ini.

Peniaga China Berhubung Dalam Talian

Beberapa peniaga dalam talian di AS mengaku menerima banyak tawaran mencurigakan daripada peniaga China yang menjanjikan kos penghantaran lebih rendah jika mereka bersetuju menipu – sama ada dengan mengurangkan nilai sebenar barang, atau menukar negara asal kepada Malaysia.

“Ramai klien kini pilih untuk lalukan produk China melalui Malaysia dan mendakwa ia buatan Malaysia,” kata seorang broker kepada Bloomberg.

Peniaga China

Ini kerana, kadar cukai import bagi barangan dari Malaysia ke AS hanya sekitar 24 peratus – jauh lebih rendah daripada tarif barangan dari China yang kini dikenakan duti import yang tinggi.

Broker-broker ini biasanya menghubungi peniaga AS melalui media sosial, menawarkan servis yang kononnya boleh ‘bantu jimat kos.’

Ada yang sanggup menjadi pengimport palsu dan membuat deklarasi nilai rendah bagi setiap penghantaran.

Nama Baik Malaysia Boleh Buruk

Pakar pula melahirkan kebimbangan bahawa tindakan peniaga China ini jika dibiarkan berleluasa, ia bakal menjejaskan reputasi Malaysia di mata dunia.

Nama baik Malaysia sebagai pengeksport yang mematuhi undang-undang boleh tercemar, dan perkara ini akan memberi kesan negatif kepada pengeksport tempatan yang sah dan bersih rekodnya.

Peniaga China

Pengisytiharan palsu tentang asal usul produk adalah satu kesalahan serius di bawah undang-undang kastam AS.

Jika dikesan bersubahat, bukan saja broker, malah peniaga yang menerima tawaran itu boleh dikenakan tindakan sivil atau jenayah.

Setakat ini, pihak Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (US Customs and Border Protection) belum mengesahkan sama ada pemantauan telah dipertingkatkan, namun mereka menyatakan pihaknya bergantung kepada aduan awam yang disalurkan melalui portal rasmi mereka.