Kerajaan Taliban semalam merayu kepada syarikat penerbangan antarbangsa untuk meneruskan penerbangan ke Afghanistan. Mereka difahamkan menjanjikan kerjasama penuh dengan syarikat penerbangan dan menyatakan bahawa masalah yang sebelum ini dihadapi di lapangan terbang Kabul sudah pun selesai.
Memetik laporan Reuters, kenyataan ini hadir dari Kementerian Luar yang kini sedang berusaha untuk membuka kembali Afghanistan yang sebelum ini diperintah oleh kerajaan yang disokong oleh Barat dan difahamkan ini juga merupakan salah satu usaha dari Taliban untuk mendapat penerimaan dari masyarakat antarabangsa.
“Oleh kerana masalah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kabul telah diselesaikan dan lapangan terbang telah beroperasi sepenuhnya untuk penerbangan domestik dan antarabangsa, [Emirat Islam Afghanistan] meyakinkan semua syarikat penerbangan bagi memberi kerjasama sepenuhnya,” kata Abdul Qahar Balkhi, jurucakap kementerian luar Taliban.
Balkhi mengatakan bahawa kekurangan penerbangan antarabangsa telah menyebabkan banyak rakyat Afghanistan terkandas di luar negara dan masalah ini juga berjangkit apabila sebahagian rakyat negara terbabit sukar untuk keluar bekerja atau belajar.
Beberapa syarikat penerbangan, seperti Pakistan International, baru-baru ini menawarkan penerbangan antarabangsa ke Afghanistan dalam jangka masa yang terhad. Namun, harga tiket ini difahamkan jauh lebih tinggi daripada harga sebelum Taliban mengambil alih negara itu bulan lalu.
Selain itu, Mullah Nooruddin Turabi, pengasas Taliban, mengatakan bahawa hukuman mati akan dilakukan sebagai bentuk hukuman jenayah di negara itu, dengan mengatakan, “Memotong tangan sangat diperlukan demi keselamatan.” Mesej tegas dari pemerintah Taliban muncul sebulan yang lalu, ketika para pemimpin Taliban berjanji untuk memberi pengampunan kepada penyokong kerajaan sebelum ini.
Selain itu, wanita turut diberitahu bahawa mereka boleh belajar di institusi yang diasingkan mengikut jantina. Ketika ini jumlah penduduk yang berusaha melarikan diri dari Taliban meningkat tinggi. Mereka juga telah disekat oleh pihak berkuasa sempadan.
Manakala kerajaan Malaysia masih belum mengiktiraf kerajaan Taliban dan masih melakukan penilaian yang sewajarnya terhadap negara tersebut. Bagaimanapun, bantuan kemanusiaan masih diteruskan selaku rakan negara Islam yang prihatin.
“Setakat ini kita telah berikrar untuk membantu sebanyak AS$100,000 melalui badan-badan di bawah Petubuhan Bangsa Bersatu (PBB). Kita juga berjanji akan meneruskan projek Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP). Ini memang sudah sedia ada dan kita cuma harus teruskan dengan pegawai-pegawai daripada Aghanistan.
“Kita juga akan bekerjasama dengan negara-negara lain. Setelah berbincang dengan beberapa menteri luar dari beberapa negara yang berminat. Di samping itu kita juga akan meneruskan usaha-usaha yang dilaksanakan badan-badan antarabangsa seperti Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC), Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB)dan sebagainya,” kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah seperti yang dilaporkan oleh Awani.
Sejak Ogos lalu, puluhan ribu warga Afghanistan meninggalkan kawasan kediaman mereka kerana takut dengan Taliban yang sebelum ini bersikap agresif dalam menekan penduduk, mulai dari merompak rumah hingga mengambil secara paksa anak perempuan dan janda. Namun sejak memegang tampuk pimpinan, Taliban berjanji akan memerintah dengan adil dan memberi peluang kepada masyarakat untuk berkembang.
Ribuan orang lari tinggalkan Afghanistan yang ditawan oleh Taliban. Untuk bacaan lanjut, sila klik pautan di bawah.
Ribuan Lari Tinggalkan Afghanistan Setelah Ditawan Taliban, Ini Apa Yang Berlaku Di Sana
640 Orang, Satu Pesawat: Kenapa Rakyat Afghanistan Takut Bila Taliban Berkuasa?
Tular Video Taliban ‘Hukum Gantung’ Orang Bawah Helikopter, Ini Fakta Yang Anda Perlu Tahu