Sempena ulang tahun ke-20 penubuhannya, Les’ Copaque Production Sdn Bhd, penerbit siri animasi tersebut, telah mengumumkan pembukaan Taman Tema Upin & Ipin yang dijadualkan beroperasi di King’s Park, Genting Highlands, Pahang.

Majlis menandatangani perjanjian bersejarah antara Les’ Copaque dan King’s Park Management Sdn Bhd telah berlangsung baru-baru ini di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, petik New Straits Times.

Baca Juga:

Taman tema ini bakal menampilkan pelbagai tarikan imersif yang diinspirasikan daripada pasangan kembar animasi ikonik Malaysia, Upin dan Ipin.

“Daripada sebuah impian kecil pada tahun 2005 sehingga menjadi studio animasi paling disayangi di Malaysia, perjalanan kami sentiasa didorong oleh semangat dan tujuan.

“Taman Tema Upin & Ipin menandakan satu bab baharu yang berani, yang menghidupkan kisah-kisah kami serta memberi inspirasi kepada generasi akan datang,” kata Pengarah Urusan Les’ Copaque, Datuk Burhanuddin Md Radzi.

Sementara itu, Pengarah King’s Park Management, Darren Yang, menyata rasa berbesar hati dapat bekerjasama dengan Les’ Copaque untuk membangunkan sebuah destinasi keluarga bertaraf dunia di Genting Highlands.

“Upin & Ipin merupakan ikon budaya, dan taman tema ini akan meraikan kreativiti Malaysia di pentas global,” kata beliau.