Pada Mei tahun lalu Penerbit dan Pengarah Urusan Les’ Copaque Production, Burhanuddin Md. Razi telah mengumumkan Cyberjaya sebagai lokasi Taman Tema Upin & Ipin, satu projek  yang perancangannya sudah bermula seawal tahun 2014 lagi.

Terbaharu, impian syarikat animasi tempatan yang berjaya menempa persada dunia itu bakal menjadi kenyataan dalam tempoh tiga tahun — bagaimanapun lokasinya bukanlah di Cyberjaya.

Baca Juga:

Memetik Berita Harian, Burhanuddin menyatakan bahawa untuk merealisasikan taman tema itu bukannya mudah kerana ia memerlukan perbelanjaan besar dan perancangan teliti.

“Nak buat taman tema bukan murah. Kami sudah banyak menerima tawaran tanah di Cyberjaya, Negeri Sembilan dan beberapa lokasi lagi. Namun, semua tanah itu mahu dijual, mana saya ada duit.

“Saya ada bertemu Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, sekitar beberapa bulan lalu. Saya mahu mengundangnya merasmikan Karnival Upin dan Ipin yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), antara 15 sehingga 17 Disember depan.

“Dalam pertemuan ini, beliau beritahu saya mahu bekerjasama membangunkan taman tema di Melaka. Saya tanya ada tanah atau tidak.

“Beliau minta saya tulis surat dan kemudiannya minta Melaka Corporation (MCorp) cari tanah yang sesuai,” katanya kepada BH Online.

Tambah Burhanuddin, selepas bermesyuarat bersama MCorp kira-kira tiga minggu lalu, mereka ada menunjukkan tanah seluas 40 hektar di Alor Gajah, berdepan dengan A Famosa Resort Melaka.

Difahamkan MCorp enggan menjual tanah tersebut dan memilih untuk menjadi rakan kongsi dalam projek pembinaan taman tema tersebut.

“Saya suka jika taman tema ini diwujudkan di Melaka kerana sememangnya bandar pelancongan dan ramai pelancong Indonesia ke Melaka.

“Kami mungkin ‘kick-off‘ tahun ini memandangkan tanah pun sudah ada, jadi kena rancang dengan teliti. Selepas ini, kami kena cari kontraktor yang boleh buat. Dua hingga tiga bulan ini kami mahu mengusahakan modal dan menganggarkan perbelanjaan menelan RM700 juta.

“Taman tema ini seperti Disneyland. Kami sasarkan tiga tahun sudah boleh buka, tetapi buka secara berperingkat,” terang beliau lagi.

Projek taman tema itu akan bermula pada hujung tahun ini dan dijangka dibuka kepada orang ramai secara berperingkat sekitar 2026 sehingga 2027.

Sumber