Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebentar tadi mengumumkan bakal berpisah dengan ketua jurulatih sektor beregu lelaki, Tan Bin Shen pada 13 Januari nanti.
Ini bermakna Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 bakal menjadi medan terakhir buat pengendali berusia 40 tahun itu membimbing Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan rakan sepasukannya yang lain dalam BAM.
Baca Juga:
- Senarai Pemain Malaysia Yang Memenangi Kejuaraan Siri BWF World Tour 2024
- Ini Jumlah Hadiah Wang Tunai Menanti Pemain Di BWF World Tour Finals 2024
- Saranan Mendiang Bapa Rintis Karier Gemilang Rexy Mainaky Takluk Dunia Badminton
Meskipun tidak banyak kejayaan dikecapi ketika bergelar pemain, tetapi Bin Shen memainkan peranan baik sebagai jurulatih beregu sebaik sahaja menerima tawaran BAM pada pertengahan Disember 2020.
Beliau dilantik bagi menggantikan Rosman Razak untuk menjadi pembantu kepada ketua jurulatih pada ketika itu, Flandi Limpele.
Walaupun pada peringkat permulaan kehadirannya mendapat kritikan ekoran pengalaman yang kurang sebagai jurulatih, Tan Bin Shen hari demi hari berjaya membuktikan kredibilitinya.
Beliau juga merupakan antara nadi kepada kekuatan Aaron Chia-Soh Wooi Yik hingga berjaya menjuarai Kejohanan Dunia serta dua edisi berturut-turut membawa pulang pingat gangsa Sukan Olimpik.
Siapa bakal pengganti Bin Shen?
Dengan ketiadaan Bin Shen nanti, BAM berkemungkinan akan berusaha untuk mencari ketua jurulatih dimana pada ketika ini mereka masih mempunyai dua pembantu iaitu Muhammad Miftakh dan Poh Chai Boon.
Susulan dengan berita terbaharu ini, nama jurulatih legenda dari Indonesia, Herry Iman Pierngadi (nama gelarannya Naga Api) dilihat menjadi sebutan para peminat setia badminton negara.
Sudah pasti faktor Rexy Mainaky selaku Pengarah Kejurulatih BAM membuatkan ramai pemerhati bebas dan peminat merasakan Herry bakal menjadi pilihan utama.
Hal ini kerana Herry juga sudah meninggalkan skuad kebangsaan Indonesia selepas berkhimat selama 25 tahun manakala pembantunya, Aryono Miranat akan kembali ke pangkuan Perkumpulan Bulu Tangkis (PB) Djarum.
Tetapi, ia hanyalah cakap-cakap kosong yang masih tidak ada asas kukuh daripada tuan punya badan dan BAM sendiri.
Sumber laporan New Straits Times turut mendedahkan skuad kebangsaan China juga berminat untuk mendapatkan khidmat jurulatih berusia 62 tahun itu.
Dengan kejohanan-kejohanan penting bakal dihadapi tahun 2025, BAM pastinya akan memperhalusi serta menimbang dengan cukup teliti setiap aspek dalam usaha membawa masuk pengganti yang benar-benar layak untuk mengetuai barisan kejurulatihan beregu lelaki negara.