Tan Sri Michelle Yeoh menjadi salah seorang daripada 18 individu lain yang menerima Pingat Kebebasan Presiden daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden.

Aktres berusia 61 tahun itu mendapat pengiktirafan istimewa tersebut kerana beliau menjadi orang Asia pertama memenangi Anugerah Oscar untuk Pelakon Wanita Terbaik, lapor Reuters.

Baca Juga:

Penganugerahan itu turut diberikan kepada Ellen Ochoa, wanita Hispanik pertama di angkasa, dan Jim Thorpe, atlet serba boleh yang menjadi orang asli Amerika pertama memenangi pingat emas Olimpik pada tahun 1912.

Antara penerima lain adalah bekas senator AS Elizabeth Dole, bekas naib presiden Al Gore, setiausaha negara John Kerry, dan Datuk Bandar New York sebelum ini Michael Bloomberg.

Majlis anugerah itu telah diadakan di Rumah Putih di Washington DC pada hari Jumaat baru-baru ini.

Pingat Kebebasan Presiden dianugerahkan kepada orang awam dan anggota tentera dan tidak terhad kepada warga AS sahaja.

Pada Mac tahun lalu, Michelle Yeoh secara rasminya adalah pelakon Malaysia dan Asia pertama yang dicalonkan untuk ‘Pelakon Wanita Terbaik’ di Anugerah Akademi dan memenangi anugerah tersebut.

Sejurus memenangi pencalonan itu, beliau terus menghubungi ibunya yang menghadiri acara Tontonan Eksklusif Oscar 2023 – Kebanggaan Malaysia secara langsung di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur.

Sumber