Legenda ragbi New Zealand, Tana Umaga sah menyertai barisan kejurulatihan skuad ragbi kebangsaan New Zealand atau lebih dikenali dengan panggilan All Blacks.
Berusia 52 tahun, Umaga bersama-sama Neil Barnes dan Mike Blair akan menyertai jurulatih sedia ada, Jason Ryan untuk membantu ketua jurulatih baharu, Dave Rennie dalam usaha mengembalikan prestasi terbaik All Blacks.
Menurut sumber laporan RNZ, Jason Ryan kekal sebagai jurulatih bahagian forward, manakala Tana Umaga akan mengambil alih peranan sebagai jurulatih pertahanan.
Mike Blair pula dilantik sebagai jurulatih serangan, sementara Neil Barnes dinamakan sebagai penolong jurulatih kanan.
Kontrak ketiga-tiga penolong jurulatih tersebut akan tamat selepas berakhirnya saingan Piala Dunia 2027 di Australia.
Penghargaan Buat Tana Umaga Dapat Sertai All Blacks
“Sekadar berada dalam perbualan, untuk kembali memegang peranan bersama All Blacks adalah sesuatu yang sangat besar.”
“Ia bukan tugas kecil, tetapi satu keistimewaan dan penghormatan,” kata Tana Umaga.
“Hati saya sentiasa bersama budaya. Budaya All Blacks, mewakili negara tempat saya dilahirkan, serta budaya ibu bapa saya, warisan dan darah yang mengalir dalam diri saya.”
“Saya mempunyai hubungan yang mendalam dengan kedua-duanya, jadi ia mestilah sesuatu yang benar-benar dekat dengan diri saya untuk saya beralih [daripada Moana Pasifika].”
“Bagi kedua-dua pasukan ini, mereka sangat bermakna buat saya. Kedua-duanya adalah sebahagian daripada diri saya.”
“Saya perlu memastikan saya melakukan yang terbaik bersama Moana Pasifika dan menghormati masa yang saya ada di sini. Saya akan mengaplikasikan perkara yang sama yang saya pelajari ketika bersama All Blacks, iaitu ‘adakah saya akan meninggalkan Moana dalam keadaan yang lebih baik?”
“Jadi saya akan kekal di sini sehingga penghujung musim dan kami masih mempunyai sasaran yang ingin dicapai sebelum itu.”
Umaga telah bersama Moana Pasifika sejak tahun 2023 dan kini berada pada tahun terakhir kontraknya bersama kelab tersebut.