Tanggal 21 Disember 2017 menjadi satu titik hitam dalam sejarah FELDA apabila artikel ‘FELDA Hilang Hak Milik Tanah Jalan Semarak’ terpampang di muka depan akhbar Berita Harian. Tajuk besar itu kemudiannya disambung dengan ‘sub header’ berbunyi ‘Tanah bernilai lebih RM 200 juta yang kini dimajukan dengan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) dipercayai bertukar hak milik melalui transaksi diragui sejak 2014’.

Dua ayat ini tajam yang ditujukan secara terbuka kepada organisasi gergasi negara bukanlah publisiti yang diperlukan oleh FELDA yang sering digunakan sebagai modal dan senjata sesetengah pihak untuk kepentingan politik mereka. Serta-merta seluruh negara jadi gempar. Orang ramai yang tak pernah ambil tahu hal FELDA tiba-tiba buka mata. Berbakul-bakul makian dihambur rakyat jelata. Bagi pihak yang pro politik ke belah sana, hal ini ibarat ‘bola tanggung’ untuk di-smash sesedap rasa. Kenapa?

Disebabkan seluruh negara tahu, tanah FELDA di Jalan Semarak itu adalah satu ‘landmark’ mereka di Kuala Lumpur. Sebut sahaja Jalan Semarak, pasti akan teringat tentang FELDA (selain kelazatan Nasi Beriani Restoran Bismillah). Malah sewaktu ibu pejabat FELDA dipindahkan daripada situ ke bangunan baharu di Persiaran KLCC, bukannya sedikit yang mempertikai keperluan membina pejabat baharu dan ada juga pihak memainkan elemen sentimental ekoran perpindahan itu. Jadi, sudahlah pejabat dipindah, tanah tetapi perasaan itu tidak bertahan lama. Petang hari yang sama, FELDA panggil semua wakil media ke sidang akhbar khas untuk membuat penjelasan. Saya ikuti sidang ini daripada awal sehingga habis melalui siaran live Astro Awani di Facebook.

Yang turun memberi penjelasan bukannya orang lain tetapi Pengerusi FELDA sendiri iaitu Tan Sri Shahrir Abdul Samad. Di sinilah banyak hal yang kabur menjadi jelas. Rupa-rupanya FELDA bukannya tidak tahu tentang hal ini. Bahkan mereka sudah pun mula mengambil tindakan jauh lebih awal sebelum isu ini bocor ke pihak media. Berapa awal? Kira-kira 10 bulan sebelum isu menjadi kecoh iaitu pada Februari 2017.

30708617_1550807231694277_7692263431881097216_n

FELDA mula sedar berlakunya transaksi meragukan terkait tadbir urus tanah di Jalan Semarak pada Januari 2017 atau dengan erti kata lain, selepas tampuk kepimpinan FELDA diambil alih Tan Sri Shahrir pada 6 Januari. Umum mengetahui Tan Sri Shahrir banyak melakukan reformasi dalaman sejak mula memimpin FELDA. Bahkan beberapa langkah yang diambilnya dipandang tidak popular dan dipersoalkan pelbagai pihak.

Semua tohmahan beliau buat tak dengar sahaja. Yang penting, FELDA tetap ‘jalan terus’! Kembali kepada topik – apakah transaksi-transaksi meragukan yang dimaksudkan berkenaan pemindah milikan tanah-tanah FELDA di Jalan Semarak ini? Untuk faham hal ini, kita fahami dahulu gambaran besar situasi yang berlaku. Anak syarikat FELDA iaitu FELDA Investment Corporation (FIC) telah diberi tanggungjawab untuk menyelia dan membuat keputusan-keputusan perlu bagi sebarang urusan pembangunan tanah ini.

Untuk itu FIC telah bekerjasama dengan syarikat Synergy Promenade Sdn. Bhd (SPSB). FIC kemudiannya memberikan kuasa ‘Power of Attorney’ (PA) kepada SPSB pada 3 Jun 2014. Ini memang satu proses biasa dalam mana-mana projek apabila empunya tanah bekerjasama dengan pihak ketiga dalam projek pembangunan. Malangnya, dengan kuasa sebagai PA yang membolehkan SPSB membuat keputusan terhadap kesemua lot tanah yang terlibat dalam perjanjian pembangunan, syarikat ini telah memindah milik 16 daripada 24 lot tanah yang asalnya milik FELDA menjadi miliknya sendiri.

Bagaimana mereka buat kerja kotor ini? Ia dilakukan secara ‘sah’ melalui empat transaksi perjanjian jual beli (sales and purchase agreement) (SPA) yang mereka ada-adakan sendiri. Melalui SPA ini, SPSB sebagai pentadbir tanah telah menjual tanah itu (yang hak milik asalnya pada FELDA) kepada dirinya sendiri. Transaksi ini pelik, tetapi benar-benar telah berlaku!

SPA pertama ditanda tangani pada 2 Disember 2015, diikuti tiga lagi SPA pada 7 November 2016. Suka saya ingatkan, Tan Sri Shahrir dilantik sebagai Pengerusi FELDA dan mula menjalankan tugas pada Januari 2017, dua bulan selepas hal ini berlaku. Jadi, apa tindakan FELDA?

Pada 20 Februari 2017, Ahli Lembaga Pengarah FELDA telah bersetuju untuk memasukkan kaveat persendirian ke atas tanah yang telah dipindah milik. Ini dilakukan selepas permohonan untuk mengguna kaveat pendaftar tidak diluluskan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan atas sebab-sebab yang tidak dapat dipastikan.

Selanjutnya, firma guaman Tetuan Zul Rafique & Partners telah dilantik untuk menilai, melapor, memberi pandangan professional dan mewakili FELDA berkaitan tindakan lanjut yang boleh diambil berdasarkan peruntukan perundangan bagi memastikan kepentingan FELDA terpelihara.

Apakah itu kaveat? Ia adalah tindakan yang diambil oleh pihak yang merasakan dirinya mempunyai kepentingan ke atas sesuatu hartanah untuk menghalang pemilik tanah daripada terus melakukan sebarang urus niaga berkaitan tanah yang dimilikinya. Beza kaveat persendirian dan pendaftar adalah besar. Kaveat pendaftar lazimnya digunakan untuk mempertahankan kepentingan kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri daripada berlakunya penipuan dan urusniaga palsu ke atas tanah yang didaftarkan kaveat ke atasnya. Manakala kaveat persendirian pula boleh dibatalkan dengan mudah oleh pemilik tanah yang berdaftar.

felda-shahrir-geran

Disebabkan itulah daripada satu sisi, menjadi suatu hal pelik apabila FELDA tidak dibenarkan daripada meletak kaveat pendaftar ke atas tanah di Jalan Semarak. Bahkan ada cakap-cakap belakang yang mengatakan ‘pendedahan’ Berita Harian itu pun dirancang FELDA untuk membantu mempercepat proses tindakan selepas usaha menyelesaikannya secara elok sepanjang tahun tidak mendapat kerjasama beberapa pihak. Atas syor Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Mohammad Najib Tun Abdul Razak sebagai menteri yang bertanggung jawab ke atas FELDA, dua laporan polis telah dibuat ke atas SPSB pada 12 Disember 2017 sebelum isu ini hangat di media dan satu lagi laporan susulan pada 28 Disember 2017.

Selepas itu berlaku beberapa siri siasatan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas FELDA, SPSB dan beberapa individu untuk membantu siasatan. FELDA telah memberi kerjasama penuh kepada semua badan terlibat. Berkat doa dan sokongan pelbagai pihak, FELDA akhirnya berjaya memasukkan kaveat pendaftar ke atas tanah ini pada 26 Disember 2017. Ini adalah satu proses penting untuk memperbetulkan keadaan.

Di peringkat dalaman, JPM telah melantik audit forensik bagi menyiasat tuduhan ke atas FELDA. Audit mula dijalankan pada 8 Januari 2018. Seminggu selepas itu, sekali lagi FELDA memperoleh kejayaan besar apabila pada 15 Januari satu momerandum persefahaman telah ditanda tangani antara FELDA dan SPSB.

Melalui perjanjian ini SPSB bersetuju untuk menyerahkan semula kesemua tanah yang telah dipindah milik kepada FELDA. Melalui perjanjian ini juga SPSB bersetuju untuk menanggung segala kos berkaitan pemindahan semula hak milik tanah kepada FELDA. Proses ini sedang berjalan dan sehingga 7 Mac 2018, 14 lot tanah FELDA di Jalan Semarak telah berjaya dipindah milik semula kepada FELDA dan didaftarkan atas nama FELDA.

Tanah Felda Jln Semarak
KUALA LUMPUR 20 DISEMBER 2017. Tapak projek pembangunan Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) di Jalan Semarak, Kuala Lumpur. NSTP/AIZUDDIN SAAD

Walaupun secara asas isu ini nampak seperti sudah selesai, tetapi masih ada satu soalan penting yang terus menjadi tanda tanya kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya golongan peneroka yang membangun FELDA dengan titik peluh mereka sendiri. Adakah melalui perjanjian antara FELDA dan SPSB dan selepas semua tanah dipindah milik semula kepada FELDA, isu ini akan ditutup begitu sahaja?

Adakah pelaku-pelaku yang menyebabkan FELDA hampir kehilangan tanahnya sendiri, hampir melibatkan kerugian ratus jutaan wang ringgit serta nilai sentimental ke atas tanah yang dikurniakan kerajaan persekutuan akan dibiarkan bebas tanpa diheret ke muka pengadilan? Jawapannya mudah sahaja – TIDAK.

Buktinya adalah sehingga hari ini, semua laporan polis yang dibuat FELDA ke atas SPSB tidak pernah ditarik balik. Malah proses audit dan pelaporan audit forensik dalaman yang dibuat juga tetap diteruskan seperti biasa. Bagi sesetengah pihak, isu tanah Jalan Semarak ini dilihat sebagai bukti kelemahan tadbir urus FELDA.

Tetapi bagi yang dapat melihat daripada gambaran lebih besar, sebenarnya tindakan yang diambil FELDA untuk menghadapi dan mengatasi masalah ini adalah bukti berlakunya perubahan dalam keseluruhan sistem tadbir urus organisasi itu.

FELDA yang dahulunya ‘kotor’ kini telah ‘dibersihkan’ dan ia kini sedia untuk meneruskan langkah ke hadapan.