Isu pemilikan tanah Felda di Jalan Semarak yang menggemparkan negara kini memasuki fasa baru yang dilihat lebih positif apabila Felda berjaya mendapat balik tanah tersebut.
Perkara ini telah disahkan oleh pengerusinya Tan Sri Shahrir Abdul Samad semalam menerusi temubual bersama Bernama semalam.
“Pihak pemaju telah secara sukarela bersetuju untuk mengembalikan hak milik tanah itu kepada Felda tanpa kos dan telah menyerahkan kesemua surat hak milik hartanah tersebut untuk didaftarkan semula ke atas nama Felda,” katanya dalam temu bual khas dengan Bernama di sini.
Menurut Tan Sri Shahrir, hak milik tanah di Jalan Semarak dikembalikan kepada Felda oleh Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB), tanpa melibatkan apa-apa kos.
Walaubagaimanapun, Shahrir mengesahkan pembangunan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) yang sedang dilaksanakan di atas tanah tersebut akan tetap diteruskan kerana pihak pemaju telah memperoleh perintah pembangunan sebelum transaksi tukar hak milik tanah dilakukan.
Ini kerana semua perkara berhubung projek KLVC bergantung kepada perjanjian pembangunan yang telah ditandatangani antara anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation (FIC) dan SPSB pada Jun 2014.
Shahrir menjelaskan dalam perjanjian pembangunan berkenaan, soal kewangan dan dana pembangunan bukan di bawah tanggungjawab Felda.
“Kita perlu asingkan soal pemilikan tanah dan juga hal projek pembangunan di tanah itu kerana jika apa-apa berlaku kepada syarikat pemaju, kepentingan Felda ke atas tanah terjamin dan tidak akan pergi bersama (tergadai),” kata Shahrir.
Perjanjian pembangunan itu juga menyatakan Felda bakal menerima pembayaran tunai sekurang-kurangnya berjumlah RM500 juta atau 10 peratus daripada nilai keseluruhan pembangunan projek itu, berdasarkan yang mana satu lebih tinggi, katanya.
Menurut Shahrir, rundingan antara Felda dan SPSB akan diadakan semula bagi menambahbaik pelaksanaan perjanjian pembangunan demi kebaikan semua pihak.
Dari segi proses dan prosedur pengembalian tanah semula kepada Felda, Shahrir berkata Felda akan memastikan ia dilakukan menurut tatacara tadbir urus korporat yang baik dan berintegriti.
Berkenaan laporan polis yang dibuat oleh Felda pada 12 Disember lepas, menurut Shahrir ia tidak akan ditarik balik. Siasatan dan dakwaan salah laku melibatkan pindah milik tanah yang dilakukan secara tidak sah itu akan tetap diteruskan.
Baca lagi: Tan Sri Shahrir Persoal Mana RM4.3 Bilion Hasil FGV