Isu kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan dan Sumatera kini memasuki fasa penting apabila pihak Kepolisian Negara Republik Indonesia (Polri) bukan sahaja bertungkus-lumus memadamkan api, malah mula memburu dalang utama di sebalik tragedi ini.

Setakat 22 Ogos 2026, sebanyak 72 orang telah ditetapkan sebagai suspek, sementara puluhan ribu anggota keselamatan dikerah ke lapangan.

Usaha memadam api menunjukkan perkembangan positif

Rekod menunjukkan seluas 64,341 hektar tanah telah terbakar di seluruh negara. Namun, hasil kerja keras pasukan gabungan Polri, TNI, BPBD, Manggala Agni dan masyarakat tempatan, sebanyak 39,959 hektar atau kira-kira 62 peratus kawasan terjejas berjaya dipadamkan dan dikawal.

Karobinops Stamaops Polri, Brigjen Pol Auliansyah Lubis menjelaskan bahawa pemantauan rapi masih diteruskan memandangkan keadaan titik panas yang sangat dinamik.

Daripada 48,656 titik panas yang dikesan satelit, sebanyak 7,872 dijumpai sebagai titik api aktif di lapangan dengan Kalimantan Barat mencatatkan bilangan tertinggi.

“Berkat kerja keras tim gabungan di lapangan, sebahagian besar area terbakar berjaya dipadamkan. Namun, tindakan pantas dalam tempoh satu hingga dua jam selepas amaran satelit tetap dilaksanakan demi mengelakkan api merebak,” kata Auliansyah.

Polis jejak dalang dan aliran kewangan

Di samping operasi pemadaman, pihak berkuasa menegaskan bahawa proses undang-undang tidak akan berhenti pada pelaku di lapangan sahaja.

Kebanyakan daripada 72 suspek yang ditangkap merupakan petani dan buruh harian yang membakar tanah secara manual kerana kosnya jauh lebih murah berbanding menggunakan jentera berat.

Direktur Tindak Pidana Tertentu Bareskrim Polri, Brigjen Pol Mohammad Irhamni menegaskan pihak penyidik kini bekerjasama dengan Pusat Pelaporan dan Analisis Transaksi Keuangan (PPATK) untuk mengesan sekiranya ada suntikan dana daripada pihak syarikat atau individu tertentu.

“Kami tidak percaya bulat-bulat pada pengakuan mereka. Pihak polis akan mengejar sesiapa sahaja yang menikmati keuntungan daripada pembakaran ini, sama ada korporat mahupun individu,” kata Irhamni.

Pemeriksaan di tapak kejadian turut menemui pelbagai barang bukti seperti pemetik api, bahan api, parang, gergaji enjin dan anak benih sawit yang menguatkan dugaan bahawa pembakaran dibuat secara sengaja bagi tujuan pembukaan ladang.

Aset moden dan puluhan ribu anggota dikerahkan

Bagi memantapkan lagi operasi pemadaman dan kawalan, Polri menyiagakan seramai 71,714 personel daripada pasukan Korshabara dan Korbrimob.

Logistik canggih seperti dua helikopter bom air (*water bombing*) serta dron khas yang mampu membawa lapan bola pemadam api turut diturunkan bagi menjangkau kawasan pedalaman yang sukar diakses kenderaan darat.

Kini, tumpuan pihak berkuasa adalah untuk memastikan sisa api yang ada benar-benar terpadam, sambil menegakkan undang-undang agar pihak yang tidak bertanggungjawab menerima balasan sewajarnya.

Sumber