Pada pukul 12.30 tengah hari tadi, jenazah suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram telah dikebumikan di Pusara Islam Kampung Sungai Tiram di Batu 19, Kampung Sungai Tiram di sini.

Pengebumian itu hanya dihadiri beberapa penduduk kampung selain pegawai dan anggota polis yang mengawal ketat keadaan sekitar.

Baca Juga:

Kuburnya juga turut diasingkan jauh daripada kubur-kubur yang ada di kawasan itu.

Keputusan itu hasil Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa yang telah bersidang Jumaat lalu, yang dipengerusikan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad, petik Berita Harian.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor dalam kenyataan hari ini, berpendapat tindakan menjarakkan kubur suspek berbanding kubur lain sebagai satu peringatan kepada masyarakat supaya tidak terbabit atau melakukan perkara yang dilakukan suspek.

Jenazah suspek juga tidak dibenarkan untuk dibawa ke mana-mana masjid atau surau untuk urusan pengebumian.

Jenazah juga hendaklah dimandikan, dikafankan dan disolatkan di hospital atau di rumah keluarga suspek sahaja.

“Fatwa ke atas jenazah suspek ini sebagai tanda menzahirkan kebencian terhadap apa yang telah dilakukan suspek apatah lagi membunuh anggota yang menjaga keselamatan negara yang tidak melakukan salah dan silap terhadap suspek.

“Jawatankuasa Fatwa mengingatkan orang ramai supaya tidak terbabit dan simpati ke atas suspek atas apa yang telah dilakukannya,” kata kenyataan berkenaan.

Terdahulu, dua anggota maut dalam satu serangan berdarah di Balai Polis Ulu Tiram pada pukul 2.45 pagi.

Beberapa hari lepas itu, seorang lelaki mabuk ditahan selepas menceroboh dan cuba merampas submesingan daripada salah seorang anggota Balai Polis Dato’ Keramat, Pulau Pinang.

Sumber