Nota Editor: Perkongsian ini telah dipaparkan di Facebook Page The Patriots dan telah dibenarkan untuk dikongsikan semula di Vocket oleh admin page ini. Sesungguhnya sejarah itu dapat memberi banyak pengajaran dan peringatan. Malahan melalui bukti peninggalan sejarah yang pernah gemilang ia dapat menaikkan keyakinan dan jati diri anak bangsa di masa depan.
Kalau Roboh Sungai Batu, Tiada Papan Di Jawa Nak Didirikan
Berkenaan Isu yang sedang panas diperkatakan sekarang iaitu isu Tapak Arkeologi Sungai Batu yang katanya mungkin akan ditutup untuk projek pembangunan, saya melihat hal ini adalah satu kerugian yang sangat besar kepada Bangsa dan Negara kita.
Jika desas-desus itu benar bermakna kita bangsa Melayu dan Malaysia umumnya bakal kehilangan satu heritage atau warisan yang sangat tua dan satu sumber ekonomi dan pendidikan kepada masyarakat.
Jika pihak-pihak yang terbabit mempunyai pemikiran yang lebih terkehadapan mereka sepatutnya memulihara dan membiarkan pihak Universiti tempatan dan Ahli-ahli Arkeologi menjalankan kajian berterusan di kawasan tersebut tanpa sebarang halangan. Ketepikanlah soal keuntungan dan birokrasi buat sementara waktu kalau tidak buat selama-lamanya pun.
Saya melihat tapak tersebut serta tapak Arkeologi dan bersejarah yang lain di seluruh Malaysia ini sangat berpotensi untuk aktiviti Heritage Tourism atau pelancongan warisan. Pelancongan warisan memberikan banyak kelebihan kepada masyarakat dan Negara.
Kita ambil contoh di negara maju seperti Amerika. Mengikut kenyataan Travel industry Assocoation of America (TIA), Heritage tourism menyumbang sebanyak 15% daripada dapatan dalam Industri pelancongan di Amerika.
Di sana pelancongan warisan telah berjaya menyumbangkan sebanyak $ 584.3 juta dolar setahun kepada ekonomi mereka dan memberikan peluang kerja kepada lebih daripada 7 juta rakyatnya.
Di Peru yang kita tahu memang sangat kaya dengan tinggalan tapak-tapak kota kuno Tamadun Inca yang gah dan hebat seperti Kota Cuzco dan Machu Pichu juga dijadikan sebagai pusat tumpuan Pelancongan Warisan oleh pihak kerajaannya.
Dalam setahun lebih kurang 400 000 pelancong dari dalam dan luar Negara melawat tapak-tapak bersejarah tersebut dan hal ini memberikan pulangan yang sangat lumayan kepada kerajaan mereka serta memberikan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan yang miskin disana.
Begitu juga dengan di Negara Mesir. Mesir adalah salah sebuah negara yang mempunyai tapak-tapak Arkeologi yang paling banyak dan paling mengagumkan di dunia.
Para pengembara dan ahli-ahli Arkeologi dunia sejak kurun ke 19 lagi berpusu-pusu ke Mesir bagi membongkar khazanah purba yang terdapat di negeri bertuah tersebut.
Tapak-tapak bersejarah seperti di Piramid Giza, pemakaman Raja atau Firaun Mesir kuno serta kuil-kuil maha besar yang terdapat di sepanjang tebing Sungai Nil telah menarik minat pelancong dari seluruh dunia untuk bertandang.
Laporan daripada sebuah majalah travel Huffington Posts menyebut bahawa pelancongan ke tapak-tapak bersejarah ini telah menyumbangkan sebanyak 11% daripada keseluruhan ekonomi Mesir dan membuka peluang pekerjaan yang sangat besar kepada rakyatnya.
Kalau mahu disebut semua, maka sangat banyak lagi negara-negara di dunia ini yang memulihara kawasan-kawasan tapak sejarah dan Arkeologi untuk tujuan pelancongan.
Sebut sahaja Jordan dengan tapak Petranya, China dengan Great Wallnya, India dengan Taj Mahal, Ganggaikonda Cholapuram serta Istana-Istana Gah Maharaja Mogul. Di Itali kawasan Bandar purba Rom dipulihara dan menjadi tarikan pelancong utama disana terutama di Coliseum.
Di Pakistan dengan tapak kota purba Lembah Indus seperti di Mohenjo Daro dan Harappa. Di England dekat Stonehenge dan di Greece dengan Acropolis dan tinggalan kuil lain di Bandar Athens.
Malah kita tak perlu lihat jauh-jauh. Tengok sahaja di Negara jiran kita Vietnam yang masih lagi memulihara warisan tamadun Champa dengan menara-menara kolongnya yang gah mencanak.
Di Thailand jiran sebelah kita, mereka juga memulihara tapak-tapak Arkeologi dan kota-kota lama seperti di Ayuthia dan tak Arkeologi di Ban Chiang, malah dekat dengan sempadan di Yarang Patani mereka masih lagi memulihara tinggalan-tinggalan kerajaan Melayu Patani kuno berupa kuil dan tinggalan kota di situ.
Dan mana boleh tidak kita lihat negeri seberang kita yang bagaikan adik beradik iaitu Indonesia. Malu rasanya kalau kita bersikap acuh tak acuh dalam memulihara tapak-tapak warisan sejarah di Negara ini kerana di Indonesia tapak-tapak warisan sejarah mereka sangat gah berdiri sama tinggi dan sama terkenal dengan tapak-tapak warisan dunia yang lain.
Lihat sahajalah Borobudur, Candi di Muara Takus, dan Perambanan serta beratus-ratus lagi tapak arkeologi dan sejarah yang dipulihara dengan baik dan dijadikan tarikan pelancong oleh pihak berkuasa mereka. Tidak malukah kita?
Lihat sahaja Kemboja dengan Kota Angkornya serta beratus buah kuil dan Istana sehinggakan mereka sanggup berbalah dengan Thailand untuk mendapatkan Istana Preah Vihear.
Setiap tahun ada berpuluh-puluh ribu orang dari dalam dan luar negara melawat tapak bersejarah tersebut dan ianya memberikan pulangan yang lumayan kepada Negara mereka dalam aspek ekonomi pelancongan.
Persoalannya mengapa tidak kita? Mengapa hanya Bandar Melaka dan George Town Pulau Pinang sahaja yang harus dipulihara dan diiktiraf? Mengapa tidak Sungai Batu dan tapak-tapak baru disekitar situ?
Mengapa tapak tamadun yang begitu hebat dan antara yang paling tua yang pernah dijumpai di Semenanjung setakat ini mahu dipunggar dan dibangunkan diatasnya? Sayang seribu kali sayang jika perkara ini benar-benar terjadi. Satu kerugian besar kepada Negara dan bangsa kita samaada dari aspek ekonomi mahupun pendidikan.
Tapak tamadun Kedah Tua di Sungai Batu itu bukan sekecil tempat yang digali sekarang itu sahaja, tetapi ianya lebih dari itu. Hasil daripada satellite remote sensing memperlihatkan gambaran kota yang sangat besar dengan pelbagai jenis bangunan yang masih tertibus berkaki-kaki di bawah tanah. IANYA SANGAT LUAS para pembaca sekalian!
Masih terlalu banyak lagi tinggalan jeti, kuil, relau besi, masjid, tembok kota, istana, bangunan pentadbiran, candi dan serta kapal-kapal yang terbenam di seluruh tapak tersebut serta tapak-tapak dikawasan sekitarnya
Kepada pihak yang berkenaan, jika benar desas-desus itu maka anda memang seorang yang kejam. Tindakan anda ini bakal membunuh sejarah bangsa Melayu.
Jika benar tolonglah ketepikan dahulu soal keuntungan, renungkan lah dalam-dalam akan kesan yang bakal menimpa jika perkara ini tetap diteruskan.
Anak-anak Melayu sekarang tidak lagi mudah lupa. Anak-anak Melayu sekarang tidak lagi malas membaca sejarah. Jika roboh Sungai Batu maka anak-anak Melayu akan INGAT sampai bila-bila.
KAMI SAYANGKAN SEJARAH KAMI. TOLONGLAH SELAMATKAN SUNGAI BATU. Sekian, Wallah hu ‘lam.
Baca lagi: Penemuan Kapal Berusia 2000 Tahun Di Kedah Bukti Kerancakan Industri Besi Melayu Purba