Penerbit filem dan usahawan, Dato’ Rafiena Ezanee Ramli mendedahkan beliau telah ditipu oleh seorang ‘Datuk Seri’ melalui projek pelaburan perumahan di Kelantan pada tahun 2015 lalu.
Menurut perkongsiannya kepada Harian Metro, lelaki itu mendakwa kediaman itu akan dibina menggunakan kepakaran dari Dubai.
Baca Juga:
- Suami Isteri Penghantar Makanan Tipu Peniaga Nasi Pakistan Sehingga Kerugian RM200,000
- Ditipu RM4.3 Juta, Ms Puiyi Saman Bekas Rakan Kongsi
- Villa Tidak Wujud, Wanita Ini Kecewa Tertipu Selepas Buat Pembayaran Pada Platform Terkemuka
Menurut Rafiena, beliau mengenali lelaki berusia 44 tahun itu menerusi kenalannya. Lelaki terbabit menawarkan peluang melabur projek perumahan tersebut pada ketika itu.
Oleh kerana sangat berminat, Rafiena telah membuka satu syarikat pembinaan untuk urusan pelaburan projek perumahan di Kelantan.
“Wang pelaburan pertama yang saya pindahkan adalah sebanyak RM370,000 di sebuah bank di Setiawangsa pada Julai 2015, sebelum membuat pembayaran sekali lagi sebanyak RM600,000 dan bakinya (RM330,000) dipindahkan ke akaun bank diberikan lelaki itu pada bulan yang sama dengan jumlah keseluruhan RM1.3 juta.
“Saya dijanjikan pulangan selepas projek perumahan itu berjaya, malah selepas itu lelaki terbabit juga menunjukkan gambar tapak tanah yang kononnya projek perumahan akan dilaksanakan di situ,” katanya kepada Harian Metro.
Bagaimanapun projek tersebut masih tidak berjalan seperti dijanjikan, Rafiena ada menghantar seseorang ke Kelantan untuk menyiasat perkembangan projek terbabit.
“Namun akhirnya ternyata projek itu adalah penipuan, malah lelaki itu ketika ditanya juga mengaku dia menipu dan kerana mengalami masalah kewangan.
“Susulan itu, saya meminta lelaki itu membuat surat perjanjian membayar balik hutang bagi menyelesaikannya namun wang diterima pada 2018 hanya sekitar RM93,000,” katanya.
Tidak lama kemudian, ‘Datuk Seri’ itu menipu sekali lagi apabila mencagarkan sebuah kereta Bentley yang bukan miliknya. Sebaliknya ia milik seorang pensyarah.
Setelah didesak membuat pembayaran, lelaki terbabit memberikan satu cek palsu bernilai RM1.5 juta, serta mencagar sebuah rumah di Mont Kiara yang masih mempunyai hutang bank RM800,000.
“Saya juga mengetahui lelaki terbabit adalah daripada kumpulan yang sama dengan seorang lagi Datuk Seri dan pensyarah wanita yang kini disiasat serta diburu polis kerana terbabit dalam penipuan pelaburan teknologi hijau dianggarkan bernilai RM20 bilion.
“Saya mengetahuinya ketika membuat pembayaran manakala dokumen syarikat ada tertera nama mereka berdua.
“Ketika itulah baru saya mengetahui mereka adalah kumpulan sama yang memperdaya orang ramai dengan penipuan pelaburan,” kata Rafiena yang juga sudah membuat laporan polis.
Memetik laporan Harian Metro lagi, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf mengesahkan pihaknya ada menerima laporan daripada Dato’ Rafiena Ezanee Ramli.
“Kes masih dalam siasatan dan disiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kelantan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana projek itu berlaku di sana. Buat masa ini suspek belum ditahan dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.