Tawaran Bayaran Kompaun Khas pada kadar rata (flat rate) RM150 oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), yang sepatutnya berakhir 30 Jun lalu, kini dilanjutkan sehingga 31 Disember 2025, menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli.
Memetik Malay Mail, lanjutan kadar flat rate itu melibatkan tiga kategori saman, iaitu Saman di bawah Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) yang dikeluarkan bermula Oktober 2018, Notis 114 (notis kehadiran ke sesi siasatan) dan Notis 115 (notis permintaan maklumat pemandu, bagi saman yang dikeluarkan pada atau sebelum tahun 2023).
Baca Juga:
- JPJ ‘Upgrade’ Pakai Toyota GR86?

- ‘Isyarat Jelas Kami Tidak Berkompromi Dengan Individu Ternama’ – JPJ Sita Porsche Milik Pelakon Wanita

- JPJ Perkenalkan Rekaan Lesen Memandu Fizikal Baharu, Apa Yang ‘Special’?

“Setakat semalam, hanya 442,870 saman telah diselesaikan sejak tawaran kadar rata RM150 ini diperkenalkan pada 2 Januari 2025,” katanya dalam sidang media selepas Operasi Khas Penggunaan Tali Pinggang Keledar di Terminal Bas Melaka Sentral.
Menurut beliau, masih terdapat 2.03 juta saman yang belum diselesaikan, dengan saman AWAS mencatat jumlah tertinggi sebanyak 1.54 juta. Baki lain melibatkan 311,866 saman di bawah Notis 114 dan 171,321 saman di bawah Notis 115.

Datuk Aedy turut memberi amaran bahawa kegagalan menyelesaikan saman-saman kompaun ini, sama ada yang sudah tamat tempoh atau masih aktif akan menyebabkan kenderaan atau pemandu disenarai hitam secara automatik dalam sistem JPJ.
“Sebagai contoh, bermula hari ini, sekiranya notis AWAS tidak dijelaskan dalam tempoh 60 hari selepas dikeluarkan, pemandu atau kenderaan terbabit akan terus disenarai hitam,” katanya.
JPJ gesa orang ramai rebut peluang ini
JPJ sebelum ini mengenakan kompaun sebanyak RM300 bagi ketiga-tiga kategori saman tersebut, dan pelaksanaan kadar rata RM150 ini adalah satu usaha meringankan beban rakyat serta menggalakkan penyelesaian tunggakan.
“Saya menyeru semua pemilik kenderaan atau individu yang masih mempunyai saman tertunggak dalam tiga kategori ini supaya segera buat bayaran sebelum 31 Disember,” tambahnya.
Orang awam boleh menyemak dan membuat bayaran saman melalui beberapa saluran rasmi JPJ seperti aplikasi mudah alih MyJPJ, portal awam MySIKAP, kiosk JPJ, kaunter bergerak JPJ dan kaunter JPJ di seluruh negara.