Saluran Telegram popular, Edisi Siasat, yang memiliki lebih 1.1 juta pengikut, kini tidak lagi dapat diakses oleh pengguna di Malaysia.
Menurut laporan FMT, tindakan menyekat saluran itu dipercayai susulan daripada perintah injunksi interim yang diperoleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) daripada Mahkamah Tinggi terhadap dua saluran Telegram — Edisi Siasat dan Edisi Khas — atas dakwaan penyebaran kandungan yang bertentangan dengan undang-undang tempatan.
Pengguna yang cuba mengakses saluran itu menerima notifikasi bahawa kandungan tidak boleh dipaparkan kerana melanggar undang-undang tempatan.
Edisi Siasat: Centus Persoalan Netizen
Situasi ini mencetuskan persoalan dalam kalangan netizen yang telah lama mengikuti saluran tersebut, salah seorang netizen mendakwa bahawa sebelum disekat, saluran itu ada memuat naik kandungan kontroversi dokumen setebal 43 muka surat.
Menariknya, bukan hanya Edisi Siasat yang menjadi sasaran.
Saluran Edisi Khas, turut mengkritik pihak berkuasa tertentu, turut menerima nasib sama.
SKMM dalam kenyataannya menjelaskan bahawa kandungan yang disiarkan oleh kedua-dua saluran ini berpotensi menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi awam serta boleh menjejaskan ketenteraman masyarakat.
Maka, platform seperti Telegram digesa untuk bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang negara.