Kesemua 313 biji telur Penyu Belimbing yang dieramkan di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (TCIC) Rantau Abang disahkan tidak menunjukkan sebarang perkembangan embrio dan berkemungkinan besar tidak akan menetas.

Dapatan itu diperoleh hasil pemeriksaan teknikal yang dijalankan oleh pasukan penyelidik ke atas kesemua telur berkenaan yang direkodkan menerusi lima pendaratan antara bulan September hingga Oktober tahun ini, selepas spesies ikonik negeri Terengganu tersebut tidak mendarat selama hampir satu dekad.

Menerusi hantaran Facebook Jabatan Perikanan Negeri Terengganu  Institut Penyelidikan Perikanan Rantau Abang (FRIRA) berkata kegagalan telur-telur tersebut untuk berkembang dan mengalami kemerosotan dipercayai berpunca daripada ketiadaan penyu jantan bagi melengkapkan proses persenyawaan.

Pemeriksaan terkini ke atas kelompok telur daripada pendaratan kelima yang dijalankan hari ini di TCIC Rantau Abang turut mengesahkan ketiadaan bukti pembentukan embrio.

Sesi pemeriksaan tersebut diketuai oleh Ketua Cawangan Penyu FRIRA, Mohamad Fathullah Roslan, dengan dibantu oleh dua kakitangan institut berkenaan, Muhaffiz Hamid dan Raimee Serbi.

Turut hadir meninjau proses berkenaan ialah Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Pang Anak Nyukang; Ketua Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan, Mohd Azrul Mahmod; Ketua Daerah Perikanan Dungun, Abd Halim Mat Noor; serta kakitangan Cawangan Pengembangan Perikanan Negeri Terengganu.

Meskipun perkembangan itu agak mendukacitakan, pihak jabatan kekal optimis dan berharap agar usaha pemuliharaan berterusan mampu membuahkan hasil pada masa hadapan.

Sehubungan itu, orang ramai diseru untuk bersama-sama memelihara ekosistem dan biodiversiti marin bagi memastikan kelangsungan habitat Penyu Belimbing, sekali gus meningkatkan kembali populasi spesies yang kini berada di ambang kepupusan itu.