Proton Persona menjadi tumpuan netizen Malaysia selepas muncul dalam video konflik di Syria.

Dalam rakaman yang dimuat naik oleh akaun X Clash Report, sekumpulan pejuang Syria dilihat menunjukkan jari tengah ke arah konvoi tentera Rusia yang sedang berundur, tetapi apa yang mencuri perhatian netizen Malaysia adalah kereta Proton Persona dalam video tersebut.

Reaksi netizen Malaysia membanjiri ruangan komen di platform X dengan ada yang terkejut, lawak, dan rasa bangga.

Video ini turut membuka perbincangan tentang sejauh mana kereta buatan Malaysia boleh ‘bertahan’ walaupun di kawasan konflik.

Keadaan Proton Persona yang masih elok dan berkilat dalam video tersebut membuatkan ramai kagum.

Netizen dengan nada lucu berkata, “Bersih betul macam kereta baru.”

Walaupun kehadiran Proton Persona mungkin hanya kebetulan berada di lokasi tersebut, kemunculannya di tengah-tengah medan konflik menimbulkan pelbagai persoalan.

Bagaimana kereta tempatan ini boleh sampai sejauh Syria? Adakah ianya sekadar kenderaan import terpakai atau bukti ketahanan Proton yang mampu melangkaui sempadan negara?

Untuk rekod, Proton telah lama menembusi pasaran antarabangsa seperti Timur Tengah dan Asia Barat.

Kereta buatan Malaysia, termasuk Persona dan Gen-2, sering dieksport ke negara-negara ini sejak tahun 2000 lagi.

Maka, tidak hairanlah jika ada Proton di jalan raya Syria.

Sebelum ini The Guardian melaporkan bahawa Bashar al-Assad dan keluarganya telah melarikan diri dari Syria ke Moscow dengan menaiki jet peribadi.

Rusia kini memberikan suaka politik kepada bekas presiden itu, yang meninggalkan tenteranya tanpa arahan.

Jalan utama yang menghubungkan Beirut dan Damsyik dipenuhi seragam tentera, tanda bahawa pihak tentera menyerah kalah.

Keputusan Assad untuk melarikan diri menandakan jatuhnya rejim yang telah mencetuskan salah satu perang paling lama pada abad ke-21.

Perang saudara yang bermula pada 2011 itu meragut lebih 300,000 nyawa, mengakibatkan 100,000 orang hilang, dan memaksa 12 juta penduduk meninggalkan kediaman mereka, dengan 5.4 juta mencari perlindungan di luar negara.