Kejohanan Badminton Terbuka India 2026 yang sedang berlangsung di Stadium Tertutup Indira Gandhi, New Delhi sepatutnya menjadi pentas terbaik mempamerkan kualiti penganjuran bertaraf dunia.

Ia seiring dengan status Super 750 dalam kalendar Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) sebagai salah satu kejohanan utama dalam kalendar badminton berprestij dunia.

Namun realitinya, kejohanan ini dicemari dengan pelbagai isu yang mencetuskan persoalan besar terhadap tahap kesediaan dan profesionalisme penganjur.

Seperti yang dapat disaksikan di media sosial serta beberapa laporan media luar negara dan tempatan, banyak masalah pada penganjuran edisi kali ini.

Apa Masalah Yang Berlaku Di Terbuka India 2026?

Antara masalah yang jelas mencuri tumpuan ialah aksi pemain tuan rumah, HS Prannoy bertemu Loh Kean Yew dari Singapura terpaksa dihentikan sebanyak dua kali ekoran najis burung terjatuh ke gelanggang ketika mereka sedang beraksi.

Anders Antonsen juga mendedahkan tindakannya menarik diri buat kali ketiga berturut-turut adalah berikutan pencemaran udara yang serius di India.

Perkara sama turut didedahkan pemain perseorangan wanita Kanada, Michelle Li yang mempersoalkan tentang keadaan pencemaran di sana.

Selain itu pemain perseorangan wanita dari Denmark, Mia Blichfeldt meluahkan kekecewaannya terhadap keadaan kawasan pemanasan badan yang disifatkannya kotor dan tidak sesuai untuk pemain membuat persiapan sebelum turun ke gelanggang utama.

Lebih mengejutkan, turut kelihatan monyet berada di kawasan tempat duduk penonton di Stadium Tertutup Indira Gandhi untuk ‘turut sama menyaksikan’ aksi hebat pemain badminton seluruh dunia.

Manakala dari segi struktur pemasangan gelanggang, ia juga kelihatan bermasalah apabila kedengaran bunyi bising papan di bawah lapisan gelanggang sewaktu pemain sedang beraksi.

Segala kepincangan ini secara langsung telah mencerminkan kelemahan kawalan fasiliti dan persekitaran venue.

Insiden-insiden ini bukan sahaja mencalar imej penganjuran kejohanan, malah berpotensi menjejaskan reputasi badminton antarabangsa serta pengalaman pemain dan peminat yang hadir.