• Lee Zii Jia semakin menghampiri kejuaraan sulungnya pada tahun ini apabila mara ke perlawanan akhir kejohanan Terbuka Thailand 2024.

Pada perlawanan separuh akhir yang berlangsung di Nimibutr Stadium, Bangkok sebentar tadi, Zii Jia berjaya mengenepikan cabaran bintang Chinese Taipei, Chou Tien Chen menerusi aksi tiga set.

Ia merupakan kemenangan kelima dilakarkan Zii Jia terhadap lawan tersebut dalam 10 pertemuan sesama sendiri di pentas antarabangsa.

HYPE
Wayout Solution Cipta Sejarah Rangkul Anugerah Company Of The Year
Baca lagi →

Berdepan lawan yang merupakan pemain di ranking ke-14 dunia, Zii Jia jelas tidak diberikan laluan yang mudah terutamanya pada set pertama dimana Tien Chen menang 21-19.

Tidak mahu impiannya terkubur di separuh akhir, Zii Jia memperkemaskan aksi dengan lebih tersusun dan tenang untuk mengungguli set kedua dengan kemenangan mudah 21-12.

Momentum cemerlang tersebut diteruskan oleh Lee Zii Jia yang beraksi baik untuk mengesahkan kemaraan ke final dengan mata 21-13.

Menanti Zii Jia di pentas final esok ialah wakil Hong Kong, Angus Ng Ka Long yang mengejutkan juara dunia dan wakil tuan rumah, Kunlavut Vitidsarn juga menerusi aksi tiga set.

Lee Zii Jia merupakan juara edisi 2022 selepas beliau berjaya menundukkan pemain China, Li Shi Feng.