Pasukan Terengganu FC mengakui masih terdapat baki tunggakan gaji yang belum dijelaskan terhadap bekas penyerang import dari Thailand iaitu Adisak Kraisorn.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini, TFC menafikan tunggakan enam angka seperti yang dilaporkan oleh salah satu media sebelum ini dimana mereka menegaskan tunggakan tersebut hanyalah lima angka.

Baca Juga:

“Terengganu FC menafikan mempunyai tunggakan gaji sehingga 6 angka. Pihak TFC mengakui masih belum menjelaskan gaji Disember 2023 yang melibatkan 5 angka sahaja.

“Tahanan bayaran dibuat bagi memperhalusi pelbagai perkara melibatkan pemain dengan pihak ketiga seperti sewaan rumah, kenderaan dan hal-hal lain sebagaimana termaktub dalam kontrak.

“Tuntutan selebihnya adalah melibatkan pendahuluan diri, tiket penerbangan dan yuran tandatangan yang berjumlah 5 angka sahaja. Ianya di dalam kemampuan TFC untuk menyelesaikannya.

“Pada 31 Ogos 2024 FIFA telah mengeluarkan surat arahan penyelesaian dalam tempoh 45 hari iaitu jangkaan sehingga 15 Oktober 2024. TFC sedia maklum dan tindakan penyelesaian akan dilakukan di dalam tempoh masa diberikan. Pihak kelab sentiasa berhubung dengan pemain serta ejennya.

“Untuk makluman, Terengganu FC tidak pernah dikenakan apa-apa tindakan serius daripada FIFA sebelum ini dan segala notis dan arahan sentiasa dipatuhi,” dipetik dari kenyataan kelab.

Arena Metro melaporkan bahawa Adisak Kraisorn belum menerima baki gaji sebanyak enam angka yang mana perkara ini didedahkan oleh oleh peguam sukan yang mewakili Adisak, Syed Nur Aiman.

Selain Terengganu, Kuala Lumpur City (KL City) turut berpotensi dikenakan perpindahan FIFA jika gagal menyelesaikan tunggakan gaji bekas awang importnya, Sebastian Avanzini.

Kedua-dua pasukan perlu menyelesaikan segala tunggakan yang ada dalam tempoh 45 hari dari tarikh surat dikeluarkan pada 20 September lalu.

Malaysia sememangnya cukup terkenal dengan isu tunggakan gaji dan beberapa pasukan Liga Super pernah dikenakan sekatan perpindahan oleh FIFA sebelum ini antaranya TRW Kelantan, Perak dan Sarawak United.