Terengganu FC mengambil langkah untuk mengurangkan jumlah pemain import bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2024.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Hishamuddin Abdul Karim berkata khidmat pemain import mungkin akan dikurangkan daripada sembilan kepada lima orang sebagai langkah untuk menjimatkan perbelanjaan kelab.

Baca Juga:

“Kita akan kurangkan beban untuk penjimatan. Kita jangka akan guna lima sahaja (pemain import) bergantung kepada pandangan jurulatih dan bajet,” kata Hishamuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu.

Tambah Hishamuddin, pasukannya tidak akan melakukan rombakan besar-besaran kerana mereka percaya pasukan sudah mempunyai asas yang kukuh dan meneruskan kerja yang dilakukan tahun ini ke tahun hadapan.

Setakat ini, Terengganu mempunyai seramai sembilan pemain import yang terdiri daripada Ivan Mamut (Croatia), Sony Norde (Haiti), Argzim Redžović (Montenegro), Jordan Mintah (Ghana), Habib Haroon (Bahrain), Omid Nazari (Filipina), Adisak Kraisorn (Thailand), Nurillo Tukhtasinov dan Sardor Kulmatov (Uzbekistan).

TFC dibawah bimbingan Tomislav Steinbrückner musim ini dianggap gagal untuk mengulangi pencapaian musim lalu dimana mereka setakat ini berada di kedudukan ke-6 dalam carta Liga Super. Pada musim 2022, pasukan itu menghuni tangga ke-2 sekaligus layak ke Piala AFC musim ini.

Dalam saingan Piala FA 2023, TFC mara sehingga ke peringkat separuh akhir dimana mereka tewas kepada Kuala Lumpur City menerusi penentuan sepakan penalti. Musim lalu, ketika dibawah bimbingan Nafuzi Zain, mereka mara sehingga ke perlawanan akhir.

Bagaimanapun, kelab dari Pantai Timur itu berjaya mara sehingga ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 yang menyaksikan mereka tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan keputusan 3-1.