Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) hari ini melakar satu detik bersejarah apabila memeterai Perjanjian Kerjasama Strategik bersama kelab gergasi Indonesia, Persija Jakarta, dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Jakarta.
Lebih bermakna, pemeteraian tersebut dibuat bersempena ulang tahun ke-97 Persija Jakarta, sebuah kelab yang memiliki reputasi besar dalam sejarah bola sepak Indonesia.
Baca Juga:
- Terengganu FC Jalin Kerjasama Dengan Jenama Indonesia

- Pertemuan Pengurusan Terengganu-Persija Jakarta: Fokus Pembangunan Bakat, Kepakaran & Nilai Komersial

- ‘Mengancam Boh!’ – Jersi Terengganu FC Jadi Pilihan Mat Saleh Di Luar Negara

Majlis pemeteraian itu turut menyaksikan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed, Ketua Pegawai Operasi TFCSB, Syahrizan bin Mohd Zain, serta Presiden Persija Jakarta, Mohamad Prapanca.
Intipati Perjanjian Bersejarah Terengganu & Persija Jakarta
Menurut kenyataan rasmi dikeluarkan Terengganu FC, kerjasama yang terjalin ini merangkumi pelbagai aspek penting dalam pembangunan sesebuah kelab profesional, termasuk pertukaran ilmu teknikal, pembangunan pemain dan staf, peluang pemasaran antara dua kelab serta inisiatif pelancongan bola sepak yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Langkah strategik ini dijangka membuka ruang baharu dalam meningkatkan tahap profesionalisme, kualiti pasukan serta hubungan serantau antara Malaysia dan Indonesia.
Ia turut dilihat sebagai satu usaha proaktif dalam memperkukuh jaringan kolaborasi antara dua kelab besar Asia Tenggara.
Terengganu FC dalam kenyataannya turut merakamkan penghargaan kepada Persija Jakarta atas sambutan mesra dan keyakinan yang diberikan sepanjang proses kerjasama ini.
Harapan turut disandarkan agar pemeteraian ini menjadi titik permulaan kepada program bersama yang lebih komprehensif, pertukaran budaya serta hubungan lebih erat antara kedua-dua kelab termasuk penyokong masing-masing.