Sedar pemain muda berbakat besar sentiasa menjadi tarikan kelab besar untuk mendapatkan khidmat mereka, Terengganu bertindak pantas dalam melanjutkan kontrak tiga pemain muda pasukan naib juara Piala Malaysia 2023 itu.

Tiga pemain yang dimaksudkan ialah duo pemain pertahanan, Muhammad Ubaidullah bin Shamsul Fazili dan Muhammad Safwan bin Mazlan serta Muhammad Syahmi bin Zamri.

Baca Juga:

Meninjau spekulasi yang bermain di laman sosial sejak kebelakangan ini, pasukan-pasukan seperti JDT, Selangor dan Perak dikatakan berminat untuk merekrut pemain muda tersebut.

Sehubungan dengan itu, tidak hairanlah Terengganu mengambil langkah pantas untuk terus mengikat Ubaidullah, Safwan dan Syahmi.

Menurut sumber kenyataan menerusi laman Facebook rasmi Terengganu FC, kontrak ketiga-tiga pemain itu dilanjutkan sehingga tahun 2026.

“Pengendali pasukan, Tomislav Steinbruckner menyatakan ketiga-tiga orang pemain muda ini adalah prospek penting dalam pelan beliau bersama Terengganu FC.”

“Beliau melihatkan pemain ini dan beberapa pemain lain mempunyai kualiti untuk menyarung jersi kebangsaan pada masa akan datang.”

“Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada ketiga-tiga pemain ini kerana terus setia bersama pasukan dan terus bersemangat untuk kekal berjuang bersama Terengganu FC!.”

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Malaysian Football League (MFL), Ubaidullah diturunkan sebagai pemain kesebelasan utama dalam enam aksi Liga Super manakala lima perlawanan Piala Malaysia.

Safwan lebih banyak diberikan peluang beraksi dengan 17 perlawanan Liga Super sebagai kesebelasan utama, dua dalam saingan Piala FA dan lima aksi Piala Malaysia.

Sementara itu, Syahmi beraksi sembilan perlawanan Liga Super sebagai kesebelasan utama dan enam kali dimasukkan sebagai pemain gantian dalam Piala Malaysia.

 

Sumber