Setakat April 2026, portal rasmi Data Terbuka Malaysia mencatatkan sebanyak 110,641 unit Proton X70 berdaftar di negara ini.

Sebagai model yang memulakan lembaran baharu syarikat pada 2018, Proton X70 memegang peranan unik dalam transformasi PROTON. Ia merupakan SUV pertama yang dilancarkan di bawah kerjasama PROTON-Geely.

Baru-baru ini PROTON mengumumkan model istimewa — Proton X70 Sport Edition — terhad kepada 600 unit sahaja untuk varian Premium dan ditawarkan secara eksklusif dalam warna ‘Quartz Black’.

Apa yang ada pada Proton X70 Sport Edition?

Model ini tampil dengan penampilan yang lebih garang. Bahagian luarannya diperhebat dengan kit badan (skirt) depan, sisi, dan belakang rekaan khas, sekali gus memberikan imej yang lebih rendah dan dinamik untuk sebuah SUV.

Untuk membezakan 600 unit terhad ini dengan varian X70 yang lain, PROTON menggunakan rim aloi 19 inci berwarna hitam dan lencana eksklusif Sport Edition.

Sementara bahagian dalaman pula dilengkapi dengan sulaman logo Sport Edition pada kerusi hadapan, serta kemasan jahitan aksen merah pada tempat duduk, stereng dan armrest.

Proton X70 Sport Edition turut mempunyai talam but (boot tray) untuk kemudahan membawa barangan.

Model istimewa daripada PROTON ini boleh dilihat di bilik-bilik pameran terpilih.

Pelanggan juga boleh membuat tempahan awal sebelum pengumuman harga rasmi pada 16 April 2026 nanti.