Pihak polis telah berjaya menahan seorang lagi suspek bagi membantu siasatan kes simbah asid yang dialami oleh pemain sayap negara, Faisal Halim baru-baru ini.
Perkara ini dikongsikan oleh wartawan TV3 iaitu Mohd Redzuan Abdul Manap yang mana setakat ini polis telah menahan dua suspek bagi membantu siasatan.

Baca Juga:
- TERKINI: Polis Tahan Suspek Serangan Asid Faisal Halim
- Faisal Halim Disahkan Melecur Tahap Empat
- Serangan Asid Faisal Halim Jadi Bualan Media Korea Selatan
UPDATE Kes simbah asid terhadap Faisal Halim.
Seorang lagi suspek ditahan menjadikan dua orang ditahan setakat ini.
Faisal yang alami melecur tahap 4 kini berada di ICU untuk pemantauan.
Dilaporkan percakapan pemain kebangsaan itu terbatas akibat kecederaan dialami.
— Mohd Redzuan Abdul Manap (@redzuanNewsMPB) May 7, 2024
Sebelum ini, pihak polis telah berjaya menahan seorang suspek dan menurut Ketua Polis Selangor iaitu Datuk Hussein Omar Khan, pihaknya juga sudah mengambil keterangan tiga individu termasuk mangsa dan akan memanggil beberapa saksi lagi untuk membantu siasatan.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar mengesahkan Faisal Halim kini melecur di tahap empat selepas disimbah asid di salah sebuah pusat beli belah di Petaling Jaya pada Ahad lalu.
“Selepas pembedahan pertama, doktor pakar mengesan ia bukan melecur tahap dua tetapi tahap empat. Berdasarkan penilaian, Faisal akan melalui sekurang-kurangnya lagi dua pembedahan yang akan ditentukan doktor. Sekarang beliau masih di ICU (Unit Rawatan Rapi), sedang dipantau dengan rapi oleh pakar.
“Apa yang saya boleh kata (keadaan Faisal), pergerakan dan percakapan beliau terbatas kerana kesannya ada di bahagian muka (iaitu) pipi, hidung dan mulut ada sikit. Di bahagian badan dan tangan belah kiri agak teruk, itu yang jejaskan pergerakan beliau,”jelasnya.
Melihat kepada kecederaan yang dialami oleh Faisal, terdapat kemungkinan beliau bakal berehat panjang atau terpaksa bersara awal dari dunia bola sepak profesional.