Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar mengesahkan bintang Harimau Malaya, Faisal Halim kini melecur di tahap empat selepas disimbah asid semalam.

Menurut laporan Kosmo, pada peringkat awal, Faisal melecur tahap dua tetapi keadaan bertambah parah selepas diteliti oleh pegawai perubatan hari ini.

Baca Juga:

Pemain yang berusia 26 tahun itu bakal menjalani sekurang-kurangnya dua pembedahan lagi selepas ini.

“Selepas pembedahan pertama, doktor pakar mengesan ia bukan melecur tahap dua tetapi tahap empat. Berdasarkan penilaian, Faisal akan melalui sekurang-kurangnya lagi dua pembedahan yang akan ditentukan doktor. Sekarang beliau masih di ICU (Unit Rawatan Rapi), sedang dipantau dengan rapi oleh pakar.

“Apa yang saya boleh kata (keadaan Faisal), pergerakan dan percakapan beliau terbatas kerana kesannya ada di bahagian muka (iaitu) pipi, hidung dan mulut ada sikit. Di bahagian badan dan tangan belah kiri agak teruk, itu yang jejaskan pergerakan beliau,”jelasnya.

Pada masa sama, Shahril berkata Faisal Halim yang lebih mesra disapa ‘Mickey’ dalam kalangan peminat akan berada di bawah pemantauan rapi di hospital sekurang-kurangnya selama 10 hari.

“Kemudian mungkin menjalani rawatan susulan di hospital selama dua hingga tiga minggu. Untuk proses pemulihan itu bergantung tetapi saya rasa beliau tidak dapat beraksi minimum lima atau enam bulan,” katanya kepada Bernama.

Shahril turut memohon agar para peminat mendoakan keselamatan Faisal Halim dan dipermudahkan urusan.

Kejadian itu sudah tentu memberi kesan kerana negara kehilangan khidmat Faisal Halim untuk dua aksi kelayakan Piala Dunia 2026 pada bulan jun hadapan.

Ini adalah kejadian kedua yang melibatkan seorang lagi pemain Harimau Malaya selepas Akhyar Rashid dipukul dan disamun sehingga menerima jahitan di kepala serta kaki pada khamis lepas.

Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon perlu mencari pemain lain yang mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Faisal dan Akhyar.

Malaysia dijadualkan berdepan Kyrgyzstan untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2026 pada 6 Jun sebelum menentang Taiwan pada 11 Jun.

Kemenangan amat penting untuk mendapatkan tiket automatik ke Piala Asia 2027 dan mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.