Usahawan popular, Datin Vivy Yusof tampil berkongsi keadaan terkininya dan respons terhadap desakan netizen yang mahukan beliau tampil memberikan kenyataan selaku pengasas Fashion Valet.
Menerusi hantaran di Instagram peribadinya pada pagi tadi telah menjelaskan dirinya bakal tampil ke hadapan untuk menceritakan perkara sebenar dan berpesan kepada orang ramai agar tidak terus menyebarkan fitnah.
“Terlalu banyak yang saya nak kongsikan nanti, insya-Allah. Buat masa sekarang, saya biarkan saya apa yang orang nak katakan.
“Cumanya berhati-hatilah dengan fitnah yang kamu sebarkan tentang orang lain,” tulisnya di Instagram Stories.
Dalam masa sama, Vivy turut berkongsi keadaan semasanya yang terlantar di hospital menerima rawatan.
“Buat masa sekarang ini, saya sedang berjuang dengan keadaan ini. Akan dikongsikan juga kelak,” tambahnya.
Usahawan popular ini menjadi sasaran oleh netizen selepas dilaporkan Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengalami kerugian sebanyak RM43.9 juta melalui pelaburan membabitkan Fashion Valet.