Bekas penagih dadah berusia 25 tahun dari Melaka baru-baru ini berkongsi perjalanan panjang kisah hidupnya untuk pulih dan keluar dari titik hitam bergelumang dengan dadah sejak berumur 15 tahun.
Berkongsi kisahnya bersama Sinar Harian, lelaki yang dikenali sebagai Ammar itu berkata, sejarah penyalahgunaan dadah bermula sejak berusia 15 tahun semasa dia mengambil dadah jenis methamphetamine untuk memberi tenaga tambahan untuk belajar.
Baca Juga:
- Sorok Dadah Dalam Dubur, Rakyat Malaysia Ditahan Di Indonesia
- Pihak Berkuasa Singapura Tahan Rakyat Malaysia Bawa Masuk Dadah Bernilai RM1.1 Juta
“Saya mengambil dadah untuk menambah tenaga semasa saya di Tingkatan 3 tetapi tidak tahu bahawa saya akan terjerumus menjadi penagih dadah… Saya mendapat dadah itu daripada seorang senior di sekolah yang merupakan pengedar.
“Saya mengambil dadah yang kononnya ‘berjaga’ untuk tempoh masa yang lama untuk belajar, tetapi ketagihan semakin teruk sehingga saya bekerja di sebuah syarikat farmaseutikal,”
Tambahnya lagi, dia terus menggunakan dadah walaupun sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak. Bagaimanapun, aktivitinya diketahui oleh isterinya dan dia dinasihatkan untuk menjalani pemulihan dengan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) NADA.
Walaupun teragak-agak pada mulanya, dia akhirnya memasuki pusat pemulihan tersebut demi isteri dan anak-anaknya. Sejak itu, dia telah pulih selama 10 bulan.
Bukan sahaja menjalani detoksifikasi di Puspen, Ammar juga menyertai banyak aktiviti berfaedah semasa di sana. Dia memuji Puspen kerana membantunya pulih dan menjadi lelaki yang lebih baik, dengan akhirnya kembali ke kehidupan normal.