Semasa cuti panjang baru-baru ini, ramai orang Malaysia tidak melepaskan peluang untuk pergi bercuti di negara jiran, Thailand.

Bagaimanapun dianggarkan ratusan rakyat Malaysia yang bercuti di Thailand terperangkap dalam kesesakan sehingga tidak sempat pulang ke tanah air melalui sempadan Sadao berdekatan Bukit Kayu Hitam, di sini semalam, petik laporan Utusan Malaysia.

Difahamkan kesesakan bermula di pusat pemeriksaan Sadao sejak pagi semalam sehingga berlarutan ke pukul 11 malam sebelum pintu sempadan ditutup pada pukul 12 tengah malam.

Menurut salah seorang warga Thailand, K. Suwit , 61, kira-kira 400 pelancong terkandas setelah pintu sempadan ditutup menyebabkan mereka terpaksa berpatah balik untuk mencari tempat penginapan.

“Danok sesak sejak 31 Ogos lepas apabila pelancong terutama orang Malaysia masuk ke sini untuk bercuti di Thailand. Semalam ramai berpusu-pusu pulang semula ke Malaysia setelah cuti sekolah tamat hari ini.

“Selain kenderaan persendirian terdapat ratusan bas pelancong yang terkandas di sempadan ini apabila ia ditutup pada 12 tengah malam. Kesesakan berlaku kira-kira dua kilometer (KM) ke sempadan,” kata K. Suwit selepas dihubungi Utusan melalui aplikasi WhatsApp, di sini hari ini.

Tambahnya lagi, beliau sendiri tidak pernah saksikan perkara seumpama itu. Ramai yang terpaksa menunggu dalam kenderaan sahaja sehingga awal pagi sebelum pintu sempadan dibuka semula.

“Bagaimanapun, keadaan kembali pulih pagi tadi apabila sempadan dibuka namun kembali sesak sejak tengah hari ini apabila ramai yang mahu pulang ke Malaysia,” katanya yang juga wartawan sebuah stesen televisyen di Songkhla.

Memetik portal HatyaiFocus, kejadian seumpama itu memberikan impak yang besar terhadap industri pelancongan Thailand. Isu tersebut akan dibincangkan bersama Gabenor Songkhla dan agensi-agensi berkaitan untuk diselesaikan dengan kadar segera.

“Kebanyakan hotel di kawasan Ban Dan Nok penuh. Peristiwa ini tidak pernah berlaku sebelum ini dalam 10 tahun,” kata Dr Sittipong Sitthipatprapha, Presiden Persatuan Hotel.