Gara-gara orang lain yang berhutang, sebuah keluarga di satu kejiranan terpaksa menanggung kerugian akibat perbuatan khianat oleh ceti haram.
Memetik laman mStar, situasi pahit ini dialami tujuh beranak yang tinggal di Ipoh, Perak di mana kediamannya disimbah cat oleh Ah Long.
Dalam kejadian pukul 2 pagi Rabu itu, Wan Zainab Wan Mamat, 37, dan suami yang keluar membeli makanan terkejut apabila dimaklumkan oleh anak bahawa rumah mereka didatangi sekumpulan lelaki yang kemudian menyimbah cat merah.

“Lima anak saya dalam ketakutan, bayangkan tiba-tiba orang datang simbah cat. Habis bahagian depan rumah termasuk kereta dan motosikal terkena cat.
“Bila kami sampai rumah tengok ada nota minta bayar hutang. Yang hutang tu lelaki Cina, yang kena simbah rumah kami,” katanya ketika dihubungi mStar.
Katanya lagi, dia telah menghubungi nombor Ah Long berkenaan bagi meminta penjelasan serta menuntut ganti rugi bagi kerugian yang ditanggung mereka sekeluarga.
“Saya tanya kenapa simbah rumah kami, dia kata mereka bertindak berdasarkan alamat yang diberikan.
“Bila minta dia bayar ganti rugi, dia tak nak bayar sebaliknya dia suruh saya minta ganti rugi dengan orang yang berhutang dengannya, katanya sambil memaklumkan penghutang sebenar
berhutang sebanyak SGD3,000 (kira-kira
RM9,900).
Wanita yang tinggal di kediaman itu sejak empat tahun lalu berkata, Ah Long itu juga memberikan alamat penghutang berkenaan kepadanya.
“Dia suruh saya minta ganti rugi di alamat berkenaan. Saya dan suami dah pergi jaraknya hanya beberapa kilometer (km) sahaja dari rumah kami.
“Alamat rumah yang diberikan adalah kediaman ibu penghutang dan rumah itu turut disimbah cat,” katanya yang sudah membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

Susulan insident tersebut, Wan Zainab turut mendedahkan yang keluarganya merasa malu kerana telah dipandang serong oleh masyarakat setempat yang menyangka dia telah berhutang dengan ceti haram.
“Orang lain hutang, kami pula yang terpaksa tanggung malu. Saya harap lelaki berkenaan bertanggungjawab dengan kejadian ini.
“Kami sekeluarga dalam ketakutan, suami tidak tidur semalaman untuk berjaga kerana khuatir rumah kami akan diserang,” katanya.