Rusia dilaporkan sedang mempertimbangkan pilihan untuk menganjurkan Piala Dunia mereka sendiri. Ianya akan disertai oleh negara negara yang gagal layak ke Piala Dunia.
Piala Dunia alternatif itu akan diadakan di Rusia. Negara negara dari konfederasi berbeza akan dijemput untuk menyertai Piala Dunia alternatif itu yang akan dianjurkan pada bulan yang sama dengan Piala dunia 2026.
Menurut laporan media Rusia, negara mereka mempertimbangkan langkah itu setelah negra mereka terus digantung oleh UEFA dan FIFA sejak 2022.
Rusia sudah mencuba sedaya upaya untuk kembali semula ke dalam struktur bola sepak antarabangsa yang di bawah FIFA dan UEFA. Namun ketika ini mereka terus digantung tidak bertali.
Menurut kaca mata Rusia, ia salah satu langkah penting dalam usaha menyokong sukan bola sepak di negara itu yang memiliki pengaruh dan liga yang besar.
Antara negara yang dianggap kuat tidak layak ke Piala Dunia setakat ini termasuk Serbia, Chile, Peru, Cameroon dan Nigeria serta beberapa negara Asia lain.
Selain itu China juga antara negara yang dijangka berminat menyertainya memandangkan hubungan erat dua negara tersebut.
Masih ada beberapa lagi pasukan yang akan tersingkir daripada pusingan play off selepas ini. Antara pasukan yang bermain di play off adalah Itali, Poland, Sweden, Wales, Denmark, Czehia dan Turkiye.
Tiada pusingan kelayakan, sebaliknya jemputan akan diberikan terus kepada pasukan pasukan terpilih, siapa cepat dia dapat.
Beberapa pakar bola sepak di Rusia yakin langkah ini langkah yang baik untuk terus memberikan tekanan kepada FIFA, dengan menunjukkan kepada FIFA bahawa Rusia masih mampu menganjurkan acara besar dan masih mampu menarik pasukan negara lain untuk beraksi.
Ia juga dianggap acara bola sepak terbesar yang dianjurkan di luar sistem rasmi FIFA atau bahasa kasarnya, secara haram.
Buat masa ini, cadangan tersebut kelihatan sukar untuk dilaksanakan. Ini kerana FIFA pastinya akan menekan mana mana negara yang mengambil bahagian dengan mengancam hukuman berat.
Selain itu, sukar untuk menarik penaja, kerana fokus dan perhatian dunia tertumpu kepada Piala Dunia 2026.
Apa yang pasti usaha Rusia ini lebih kepada usaha untuk menarik perhatian dunia agar bola sepak negara mereka kembali diterima. Kerana FIFA selama ini melaungkan slogan, bola sepak dan politik tidak boleh selari atau dicampur aduk.