Pada hari semalam Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul memberikan ‘jawapan pendek’ apabila ditanya perihal Tesla dilaporkan membatalkan rancangan membina kilang pengeluaran kereta elektriknya di Asia Tenggara.
Dalam satu hantaran terbaharu di media sosialnya semalam, beliau berkata sedemikian kerana dakwaan itu dikongsikan oleh pihak ketiga dan tidak dikenali — bukan sumber rasmi daripada Tesla sendiri.
Baca Juga:
- Tengku Zafrul: Saya Tak Tahu, Saya Tak Kerja Tesla
- Tesla Tak Jadi Buka Kilang Di Asia Tenggara, Termasuk Malaysia
“Laporan ini diterbitkan oleh sebuah akhbar Thailand dan dipetik semula oleh akhbar negara kita.
“Pertamanya, laporan tersebut bukanlah kenyataan rasmi Tesla, sebaliknya hanya memetik sumber yang anonymous ataupun tak bernama. Jadi, bila ditanya, jawapan saya ialah wartawan perlu semak kesahihan berita ini dengan Tesla, kerana sumber berita ini bukanlah Tesla.
“Kedua, MITI pun tak pernah buat pengumuman Tesla akan buka kilangnya di Malaysia. Memang kita adakan perbincangan dengan Elon Musk dalam usaha menarik pelaburan, tetapi Tesla tidak pernah membuat komitmen untuk membuka kilang di sini,” jelas Tengku Zafrul.
Tambahnya lagi, pelbagai keistimewaan yang diberikan oleh kerajaan kepada Tesla sebelum ini bukanlah satu perkara yang sia-sia
Ini kerana dalam usaha mengukuhkan ekosistem EV, kerajaan memperkenalkan Inisiatif Peneraju Global Kenderaan Elektrik Bateri yang terbuka untuk mana-mana pembuat kenderaan EV.
Menurut Tengku Zafrul, program yang serupa dilaksanakan di China, Hong Kong, dan Norway telah mempercepatkan peralihan kepada kenderaan elektrik. Pada masa sama banyak PKS tempatan mendapat manfaat daripada penyertaan dalam ekosistem EV.
“Setakat ini, hanya Tesla yang telah memohon dan diluluskan penyertaannya dalam inisiatif Global BEV ini tetapi kita mengalu-alukan penyertaan pembuat EV lain.
“Jadi, bila kata Tesla dapat layanan istimewa, tak betul tu, mana-mana syarikat pun boleh memohon untuk inisiatif ini,” kata Menteri MITI itu.
Dalam masa sama, beliau menafikan MITI atau mana-mana agensinya mengumumkan Tesla akan buka kilang di Malaysia.
Namun MITI akan terus berusaha menarik pelaburan berkualiti tinggi ke Malaysia dari semasa ke semasa.