Kapten pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa, meluahkan kemarahannya ketika sesi temu bual selepas tamat perlawanan AFC Champions League (ACLE) menentang Shandong Taishan di Stadium Olimpik Jinan.

Tuan rumah berjaya menewaskan JDT hasil jaringan tunggal Zeca pada minit ke 68 dalam perlawanan yang cukup sengit. Harimau Selatan juga sempat menjaringkan gol pembukaan namun dibatalkan pengadil kerana berada dalam kedudukan ‘offside’.

Baca Juga:

Malah, JDT juga dinafikan sepakan penalti apabila Arif Aiman dijatuhkan dua kali oleh pemain lawan.

Pengadil turut melayangkan beberapa kad kuning kepada pemain JDT sekaligus menyebabkan Natxo Insa tidak puas hati dan mendakwa pasukannya seperti beraksi menentang 14 orang.

Dalam sesi temubual, wartawan bertanya, ‘bagaimanakah perasaan anda apabila tewas dalam perlawanan yang sangat menarik?’

“Menarik untuk siapa? Untuk Penyokong? Untuk pengadil? Untuk kami? Untuk siapa?

“JDT dilayangkan beberapa kad kuning dalam tempoh 30 minit pertama permainan, itu bukan sesuatu yang normal.

“Kami bermain dengan pasukan yang dibarisi 13, 14 pemain. Itu adalah perbezaan dalam perlawanan ini,” katanya.

Bagaimanapun, kekalahan tersebut tidak mematahkan semangat JDT untuk bangkit memburu kemenangan dalam baki perlawanan yang seterusnya.

“Kami akan terus berusaha. Seperti biasa, membuat persiapan untuk aksi berikutnya. Namun kami menyedari kadang-kala sukar untuk bermain seperti itu.”

Selepas ini skuad kendalian Hector Bidoglio itu akan beraksi di halaman sendiri menentang jaguh Thailand, Buriram United pada 3 Disember kemudian bertemu kelab Australia, Central Coast Mariners di tempat lawan pada Februari tahun depan.

Aksi terakhir peringkat kumpulan ialah menentang Pohang Steelers pada 18 Februari 2025 di Stadium Sultan Ibrahim. Hanya 8 pasukan teratas sahaja akan mara ke peringkat kalah mati.