Hasrat peminat bola sepak tempatan untuk melihat kelibat tonggak tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa bersama Harimau Malaya pada aksi persahabatan antarabangsa bulan ini tidak jadi kenyataan apabila beliau dilaporkan mengalami kecederaan.
Perkembangan itu disahkan oleh pengendali Harimau Malaya, Pau Marti dalam satu kenyataan rasmi di laman sosial Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini.
Baca Juga:
- Natxo Insa Dipanggil Sertai Skuad Kebangsaan
- Natxo Insa Kritik Pengadil & Pemain Gwangju FC Kerap Hentikan Permainan
- Laos Uji Kekuatan Harimau Malaya November Depan
Turut digugurkan ialah pemain Selangor, Mukhairi Ajmal yang sempat melaporkan diri hari ini.
“Natxo Insa disahkan menerusi laporan perubatan mengalami kecederaan ketika beraksi pada perlawanan AFC Champions League Elite 2024/25 menentang Ulsan HD pada 5 November 2024.
“Mukhairi Ajmal Mahadi dari Selangor FC yang hadir melapor diri, hari ini tetapi terpaksa dilepaskan selepas pemeriksaan doktor mengesahkan terdapat kecederaan selepas beliau beraksi pada perlawanan AFC Champions League Two 2024/25 menentang Jeonbuk Hyundai Motors pada 7 November 2024,” jelas Pau Marti.
Pemain Kelantan Darul Naim FC, Mohamad Fazrul Amir Md Zaman dan pemain Kuala Lumpur City FC, Zhafri Yahya yang sebelum ini berada dalam Senarai Bersedia telah dipanggil bagi menggantikan dua pemain tersebur.
Malaysia bakal menghadapi dua perlawanan Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Laos di Bangkok, Thailand pada 14 November dan menentang India di Hyderabad pada 18 November 2024.
“Semoga Mukhairi dan Natxo cepat kembali sembuh dan seterusnya dapat dipanggil lagi pada kem latihan pusat Harimau Malaya yang akan datang,” kata Pau Marti.