Thailand bukan sahaja terkenal dengan kehebatan pasukan kebangsaannya yang konsisten layak ke pentas Piala Dunia Futsal sejak dua dekad lalu.
Malah kini negara jiran itu terus memperkukuh pengaruhnya di arena sukan antarabangsa melalui sektor komersial dan penajaan sukan.
Baca Juga:
- Muhammad Osamanmusa Lakar Sejarah Bergelar Pemain Asia Pertama Juarai Liga Futsal Sepanyol

- Muhammad Osamanmusa Jadi Kebanggaan ASEAN, Bantu Jimbee Cartagena Tamatkan Kempen UCL Futsal Di Kedudukan Ketiga

- Muhammad Osamanmusa Jadi Pemain ASEAN Pertama Jaringkan Gol Dalam UEFA Futsal Champions League

Terbaharu, jenama futsal terkemuka dari Thailand, IMANE secara rasminya telah memeterai perjanjian untuk sebagai penaja teknikal rasmi kepada Jimbee Cartagena Costa Cálida.
Jimbee Cartagena bukanlah calang-calang pasukan kerana bergelar juara Liga Futsal Sepanyol bagi dua musim berturut-turut iaitu pada 2023/24 dan 2024/25.
Kelab yang berpangkalan di Wilayah Murcia itu juga meraih tempat ketiga dalam UEFA Champions League Futsal 2024/25.
Tonggak skuad kebangsaan Thailand, Muhammad Osamanmusa juga turut beraksi bersama Jimbee Cartagena.

IMANE Jenama Futsal Kebanggaan Thailand
Perjanjian selama empat tahun ini juga merupakan satu langkah besar ke hadapan bagi Jimbee Cartagena kerana ia akan membuka peluang kepada kelab tersebut untuk menonjolkan diri dalam pasaran Asia di mana sukan futsal amat digemari terutamanya di Thailand dan Indonesia.
Misalnya, di media sosial juga kelab ini semakin mendapat perhatian di Asia berikutan kehadiran Osamanmusa yang turut ditaja oleh jenama ini.
Mengulas mengenai perjanjian bersejarah tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif IMANE, Takkasit Jittivanich berbesar hati dapat menjalinkan kerjasama dengan pasukan gergasi Sepanyol itu.

“Kerjasama ini adalah mengenai membentuk masa depan futsal. Ia bukan sekadar penajaan teknikal tetapi satu kerjasama dua hala.”
“Ia sebagai usaha dalam membawa jenama Jimbee lebih dekat dengan peminat di Asia dan meletakkan Thailand sebagai pemain utama dalam evolusi global futsal.”
“Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan kelab yang berwawasan dan penuh semangat seperti Jimbee Cartagena.”
“Daripada lembaga pengarahnya hinggalah kepada kepimpinan jurulatih Duda, segala-galanya di Jimbee mencerminkan nilai-nilai yang kami junjung di IMANE iaitu disiplin, semangat dan kecemerlangan,” ujar Takkasit menurut kenyataannya di laman sesawang rasmi Jimbee Cartagena.