Kerajaan Thailand hari ini telah menyerahkan wang pampasan berjumlah 650,000 baht (kira-kira RM80,000) kepada salah seorang daripada dua warga Malaysia yang cedera dalam insiden letupan bom di Tak Bai, baru-baru ini.
Gabenor Narathiwat, Bunchuay Homyamyen, menyampaikan cek pampasan tersebut kepada Muhammad Yusri Udin dalam satu majlis yang berlangsung di Pejabat Kastam Sungai Golok, petang tadi. Turut hadir ialah Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Prayong Kotsakha.
Menurut Bunchuay, pampasan itu disalurkan di bawah dana kerajaan Thailand yang dikhaskan untuk kerosakan harta benda dan bantuan kepada mangsa yang terjejas akibat insiden keselamatan, petik New Straits Times.
“Kerajaan Thailand amat prihatin terhadap insiden seumpama ini dan komited untuk memberikan bantuan sewajarnya bukan sahaja kepada warga Malaysia, malah kepada pelancong asing lain yang menjadi mangsa serangan sedemikian,” katanya.
Beliau menambah bahawa agensi keselamatan, khususnya di selatan Thailand, telah diarahkan untuk memperketatkan lagi kawalan keselamatan demi menjamin keselamatan orang awam dan pelancong asing.
Beliau turut menyeru semua pihak untuk mengecam tindakan keganasan tersebut yang menjejaskan keyakinan orang ramai.
Insiden ini merupakan yang pertama dilaporkan bagi tahun ini.
Muhammad Yusri, yang hadir ditemani beberapa rakan, menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas keprihatinan serta bantuan yang diberikan oleh kerajaan Thailand.
Sebelum ini, Yusri dan seorang lagi mangsa yang terselamat, Abdullah Syarapi Abd Rahman, masing-masing telah menerima pampasan awal kecederaan sebanyak 10,000 baht (RM1,300) dan 50,000 baht (kira-kira RM6,500).
Dalam kejadian Isnin lalu, kedua-dua mangsa cedera apabila bom tepi jalan meletup di bawah pembetung di sepanjang Lebuhraya 42 di Kampung Phrai Wan, berhampiran sub-wilayah Tak Bai. Mereka pada mulanya dirawat di Hospital Narathiwat sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu untuk rawatan lanjut.