Thiago Alcantara yang mengumumkan persaraan sebagai pemain bola sepak profesional pada minggu lalu kini telah mengalihkan tumpuannya ke bidang kejurulatihan.
Hal ini kerana beliau telah diperkenalkan sebagai jurulatih Barcelona dan akan membantu bekas pengurusnya ketika bersama Bayern Munich iaitu Hansi Flick.
Baca Juga:
- Hansi Flick Terapkan Peraturan Pelik Ini Untuk Pemain Barcelona
- Masalah Kewangan Halang Barcelona Daftarkan Hansi Flick
- Xavi Nasihati Bakal Pengurus Barcelona, ‘Anda Akan Menderita’
Seperti dilaporkan sebelum ini, Flick dilantik sebagai pengurus baharu Barcelona bagi menggantikan legenda kelab tersebut, Xavi Hernandez yang meninggalkan pasukan pada penghujung musim lalu.
“Setelah menamatkan kariernya pada usia 33 tahun, Thiago Alcantara bersedia untuk menghabiskan beberapa minggu akan datang sebagai sebahagian daripada kakitangan Hansi Flick untuk bertindak sebagai jurulatih.”
“Pemain tengah itu merupakan produk projek La Masia dan dia serta pengurus baru The Blaugrana (merujuk kepada Hansi Flick) telah menjalin hubungan rapat semasa musim tunggal dimana kedua-duanya berada di Bayern Munich, apabila mereka memenangi kejuaraan ‘treble’,” ujar Barcelona dalam satu kenyataan di laman sesawang kelab tersebut.
Kehadiran Thiago yang kembali menabur bakti bersama kelab Catalan itu nyata hadir tepat pada masanya bagi membantu Flick.
Ketika Flick tidak fasih berbahasa Sepanyol dan Inggeris, Thiago boleh membantu kerana beliau mampu berkomunikasi dalam bahasa Jerman dan Inggeris dengan sangat baik.
Satu keadaan yang memberikan isyarat jelas bahawa Thiago akan memainkan peranan penting dalam proses peralihan ini.
Beliau akan bertindak sebagai perantara, memudahkan komunikasi berkesan antara Flick dan pemain, dan memastikan bahawa strategi dan arahan pengurus baharu tersebut disampaikan dan difahami dengan baik.