Selangor berkenduri jaringan dalam aksi final Piala Futsal Malaysia 2025 selepas dengan mudah membelasah Pahang Rangers 13-3 pada perlawanan yang berlangsung di Arena N9, Nilai sebentar tadi.

Pemain import Selangor, Vitor Fernando Dos Santos menjadi pemain paling menyerlah apabila lapan jaringan berjaya diledakkannya pada perlawanan ini.

Ketika pra-perlawanan, kedua-dua pasukan dilihat mempunyai peluang seimbang untuk muncul juara berbekalkan kelebihan masing-masing.

Namun sebaik sahaja bermula aksi, Selangor lebih mencuri tumpuan dalam memperagakan corak permainan penuh bertenaga bagi mengeksploitasi kelemahan Pahang Rangers ketika bertahan.

Ia jelas dibuktikan apabila Selangor membuka tirai jaringan seawal minit pertama menerusi Vitor menerusi satu gerakan pantas susulan bola yang berjaya dirampas Evandro Borges dalam kawasan Pahang Rangers.

Tiga minit kemudian, kegagalan Matheus Moura melakukan hantaran dengan baik di kawasan sendiri memberikan ruang buat Evandro untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Vitor terus membuktikan kemampuan hebat beliau pada minit keenam selepas percubaan volinya setelah menerima hantaran sepakan sudut Evandro terus membolosi gawang Pahang Rangers.

Tersentak dengan tiga gol tersebut dalam tempoh enam minit, Pahang Rangers menggunakan taktikan Powerplay dan ia membuahkan hasil dengan jaringan Razin Rahim, juga pada minit keenam.

Selepas itu, Selangor jelas sukar untuk dibendung dengan 10 lagi jaringan berjaya dihasilkan dan kesilapan-kesilapan ketika bertahan oleh Pahang Rangers cukup mudah dihukum anak-anak buah Edgar Baldasso itu.

Berikut merupakan senarai penuh penjaring pada perlawanan ini:

Selangor

Vitor Fernando Dos Santos 1′ 6′ 9′ 17′ 19′ 26′ 29′ 36′

Evandro Borges 4′

Syahir Iqbal Khan Akbar Khan 10′ 16′

Faris Johan 19′

Khairul Effendy Bahrain 27′

Pahang Rangers

Razin Rahim 6′

Iqhmal Najmie Ismail 37′

Matheus Mora 39′