Baru-baru ini, ramai peminat kereta berasa sedih setelah melihat beberapa gambar menunjukkan pelbagai jenama kereta mewah telah dimusnahkan dengan mengunakan sebuah jentolak.
Kejadian itu berlaku di Manila yang mana Biro Kastam Filipina (BOC) telah menghancurkan 21 buah kenderaan seludup bernilai P58.55 juta (RM4.9 juta) di hadapan pihak berkuasa dan media tempatan.
Tujuh buah kenderaan dari lokasi berbeza telah dikumpulkan dan dihancurkan di Kawasan Pelabuhan Biro Kastam, Manila. Sebuah McLaren 620R baru dan Hyundai Genesis terpakai dari Pelabuhan Kontena Antarabangsa Manila, beberapa buah kereta terpakai seperti Bentley Flying Spur, Porsche 911 C2S dan Mercedes-Benz SLK dari Pelabuhan Manila dan sebuah Lotus Elise terpakai dari Pelabuhan Subic.
Manakala 14 buah kereta Mitsubishi Jeep terpakai yang disita di Pelabuhan Cagayan de Oro turut dimusnahkan pada masa yang sama di Diamond Logistik di Baloy, Brgy. Tablon, Cagayan de Oro.
Kesemua kenderaan tersebut telah dieksport masuk ke dalam Filipina oleh pemilik yang berbeza dan disita dalam beberapa operasi yang berlainan dari tahun 2018 hingga tahun 2020.
Sebagai contoh, pada Julai 2020, model baru supercar McLaren 620R edisi terhad tersebut telah memasuki Filipina dengan diisytiharkan sebagai sebuah sport car Porsche Cayman.
Namun, pihak Pelabuhana Manila telah berkerjasama dengan Kumpulan Perkhidmatan Perisikan dan Penyiasatan Kastam (IG-CIIS) bagi menyita model Mclaren tersebut yang dianggarkan nilai sebenar sekitar Php33 juta (RM2.8 juta) tidak termasuk duti dan cukai.
Berita ini mendapat liputan ‘hangat’ di seluruh dunia, lebih-lebih lagi dari kalangan peminat kereta-kereta mewah dan eksotik. Rata-rata ramai orang mempersoalkan mengapa kerajaan Filipina sanggup menghancurkan kenderaan yang bernilai jutaan ringgit tersebut.
Orang ramai berpendapat bahawa pihak kerajaan boleh melelong kesemua kenderaan itu dan menggunakan wang hasil lelongan tersebut boleh digunakan untuk pembangunan negara Filipina.
Namun, jawapan yang diberikan oleh Biro Kastam Filipina sangat tegas dan selari dengan prinsip Presiden Rodrigo Roa Duterte di mana beliau mahu menghantar mesej yang jelas kepada penyeludup bahawa pihak pemerintah sangat serius dalam usaha membanteras sebarang aktiviti penyeludupan yang mahu mengelak pembayaran duti dan cukai kepada negara.
Ada juga sebahagian orang ramai yang bersetuju dengan tindakan menghancurkan kenderaan seludup tersebut kerana jika kenderaan itu dilelong, ada kemungkinan pihak penyeludup akan cuba membeli semula kenderaan yang disita dan menjual kembali kepada orang lain.
Difahamkan ini merupakan kali kedua pada tahun ini di mana pelbagai kenderaan seludup telah dihancurkan. Pada 9 Februari 2021 lalu, BOC juga telah memusnahkan 17 kenderaan bermotor dari MICP, Pelabuhan Cebu, dan Pelabuhan Manila.
Pada April lalu, pelbagai kereta supercar terdiri dari Ferrari 458 Italia, McLaren 720S dan Porsche 992 Carera telah disita setelah pemiliknya disyaki mengetuai sindiket kartel projek kerajaan Malaysia.
Ketua Sindiket Kartel Projek Kerajaan Ditahan, ‘Aset’ Bernilai RM148.2 Juta Disita
‘Instafamous’ Diburu Polis Gara-Gara Salah Guna Lampu Strob Untuk Elak Kesesakan Trafik