Bagi ratusan ribu warga kota di Lembah Klang, memulakan hari dengan menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya adalah satu kelaziman.

Namun, pada tahun 2023, pengguna sering berasa letih apabila tren beroperasi pada kapasiti 115% sewaktu waktu puncak membuatkan penumpang bersesak-sesak ibarat ‘tin sardin’.

Apatah lagi, laluan ini merekodkan purata kerosakan sehingga lima kali sebulan, dengan jumlah 36 gangguan perkhidmatan sepanjang tahun tersebut.

Mengapa hal ini sering berlaku? LRT Kelana Jaya telah beroperasi sejak tahun 1998, menjadikannya antara sistem tren pandu automatik penuh yang tertua dan terpanjang di dunia pada asalnya.

Pertambahan penumpang yang saban tahun melonjak sehingga purata lebih 289,000 orang sehari memberi tekanan besar kepada sistem dan tren yang semakin menua.

Merasakan denyut nadi keluhan pengguna, pasukan operasi mula melaksanakan transformasi secara besar-besaran.

“Cabaran utama yang kita hadapi sekarang adalah permintaan pelanggan,” luah Ketua Operasi Laluan Kelana Jaya, Noordin Abu Bakar.

“Apabila kita mempunyai kekerapan tren setiap tiga minit, mereka menuntut lebih daripada itu. Pertambahan penumpang akibat pengembangan jajaran rel merupakan satu cabaran besar dalam pengurusan orang ramai”.

Obses Terhadap ‘Kegagalan’

Untuk memperbaiki mutu perkhidmatan, Prasarana dan Rapid Rail mula menggunakan penanda aras industri antarabangsa yang dikenali sebagai Mean Kilometre Between Failure (MKBF), yang mengukur purata jarak perjalanan sebuah tren sebelum ia mengalami kerosakan.

Ketua Kejuruteraan LRT Kelana Jaya, Leman Zakaria, mempunyai cara kerja yang unik beliau “obses dengan kegagalan”.

Dengan sebuah perisian kejuruteraan khusus, pasukan Leman menjalankan analisis mikro setiap hari ke atas segala kerosakan yang dialami untuk memotong masalah dari akarnya.

Hal ini disokong dengan pendekatan Penyelenggaraan Berasaskan Keadaan (CBM). Ketua Pegawai Operasi Rapid Rail, Nor Azmi Mohd Yusof, menjelaskan strategi agresif mereka:

“Melalui pendekatan proaktif ini, pemeriksaan dilakukan dengan lebih kerap. Jika mana-mana komponen menunjukkan tanda awal kerosakan, kami akan menggantikannya dengan segera. Kita tidak lagi menunggu jadual alat ganti di dalam manual selenggaraan asal”.

Hasil usaha ini sangat memberangsangkan. Pada tahun 2024, sasaran jumlah kerosakan berjaya diturunkan kepada 26 kali (pengurangan sebanyak 28%), manakala masa menunggu waktu puncak dipendekkan daripada 4.1 minit kepada hanya 2.9 minit.

Suntikan RM150 Juta dan RM1 Bilion untuk Masa Depan

Kini, LRT Kelana Jaya sedang melangkah ke fasa naik taraf bersejarah. Sebuah projek naik taraf sistem isyarat (signalling) Automatic Train Control (ATC) menelan belanja RM150 juta sedang rancak dijalankan.

Sistem baharu berasaskan teknologi SelTrac Generation 8 ini amat kritikal untuk memanjangkan hayat laluan ini selama 20 tahun lagi.

“Sistem baharu ini menggunakan teknologi terkini yang memberikan pemantauan data masa nyata, keselamatan siber yang dipertingkat, dan komunikasi yang lebih stabil,” kata Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana (Strategi dan Pembangunan), Dr Prodyut Dutt.

Bagi memastikan kerja-kerja pengujian berjalan lancar tanpa mengganggu 300,000 penumpang hari bekerja, penutupan dan kelewatan pembukaan stesen (bermula jam 9 pagi) hanya dilakukan secara berfasa pada hujung minggu dan cuti umum antara Ogos hingga akhir November 2025.

Bas dan van perantara percuma turut disediakan untuk kemudahan penumpang yang terjejas akibat kerja-kerja penting ini.

Berita yang paling dinanti-nantikan pula semestinya kehadiran set-set tren yang baharu. Kerajaan telah meluluskan peruntukan bernilai RM1 bilion di bawah Belanjawan 2026 bagi membeli 26 set tren baharu berkapasiti tinggi.

“Proses menggantikan tren sedia ada sudah bermula, dengan tren pertama dijadualkan tiba pada tahun 2029. Penggantian keseluruhan ini disasarkan selesai menjelang akhir tahun 2030 atau 2031,” tambah Nor Azmi dengan nada optimis.

Rombakan ini disasarkan dapat merehatkan siri model lama Bombardier 818 yang sudah menabur bakti sekian lama.

Daripada ketidakselesaan bergerak di dalam ‘tin sardin’ hinggalah kepada kelewatan akibat kerosakan sistem, cabaran laluan LRT Kelana Jaya telah menjadi pemangkin kepada penaiktarafan yang dinantikan oleh rakyat.

Dengan dedikasi jurutera, pemantauan teliti, dan pengenalan aset yang canggih, pengalaman transit pengguna awam di Lembah Klang diyakini akan bertukar menjadi lebih cekap, pantas, dan efisien.

Sumber