Ketua Pegawai Eksekutif Ti Properties Sdn Bhd, Awasi Mohamad menyatakan kenderaan berat tidak lagi dibenar menggunakan Jambatan Angkat Kuala Terengganu mulai 1 Januari 2026.
Larangan itu susulan penguatkuasaan palang penghadang berketinggian 3.5 meter yang akan dilaksanakan mulai tarikh berkenaan, petik Berita Harian.
Baca Juga:
- Anthony Loke Ikrar Penguatkuasaan Lebih Tegas, Kenderaan Berat Bakal Wajib Pasang ‘Speed Limiter’

- Kenderaan Berat Dilarang Guna Lorong Kanan Di Lebuh Raya

Penguatkuasaan itu melibatkan kenderaan dengan Berat Dengan Muatan (BDM) atau Berat Tanpa Muatan (BTM) maksimum lima tan.
Awasi berkata langkah itu bagi mengawal pergerakan kenderaan yang melebihi had muatan dan ketinggian dibenarkan. Ia bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya lain yang melalui jambatan ikonik berkenaan.
Penguatkuasaan itu selaras Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) Seksyen 86(3) yang melarang kenderaan dengan BTM atau BDM lima tan dan ke atas merentasi jambatan angkat atau draw bridge terbabit.
“Langkah ini juga penting bagi mengelakkan risiko kerosakan struktur akibat beban berlebihan, menjejaskan keselamatan serta jangka hayat jambatan yang menjadi antara infrastruktur penting serta mercu tanda ikonik Terengganu,” katanya.
Papan tanda amaran had muatan serta papan kenyataan berkaitan akta dan undang-undang sudah dipasang di jalan-jalan utama menuju ke jambatan terbabit.
Serta, amaran had ketinggian turut dipaparkan menerusi papan skrin LED di jambatan berkenaan sebagai peringatan berterusan kepada semua pemandu dan pengguna laluan itu.
“Kenderaan melebihi had muatan lima tan dan ketinggian 3.5 meter ke atas perlu guna laluan alternatif melalui Jambatan Sultan Mahmud dan Jambatan Manir yang menghubungkan kawasan Kuala Nerus dan pusat bandar Kuala Terengganu.
“Laluan penyuraian alternatif serta kawasan parkir khas turut disediakan, khususnya bagi bas pelancong ke kawasan sekitar jambatan angkat bagi memastikan kelancaran trafik dan keselesaan pengunjung,” katanya.