Kita sering saja membaca kisah dan cabaran yang dihadapi oleh insan-insan yang bergelar sebagai seorang guru terutamanya mereka yang bertugas di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak.
Ada antara mereka yang terpaksa meredah hutan dan sungai sebelum sampai ke destinasi demi mencurahkan ilmu yang dimiliki kepada anak-anak bangsa yang berada jauh di pedalaman sana.
Manakala seorang guru dari Sabah ini, Harry Yanto Bikal bukan saja terpakasa melalui semua kesusahan yang kita sering dengari sebelum ini- tetapi dia juga memikul peti ais seberat hampir 40 kilogram sejauh hampir 10 kilometer perjalanan.
Semuanya dilakukan kerana rasa tanggungjawab sebagai seorang guru kepada anak-anak muridnya.
Video berdurasi dua minit sepuluh saat yang menunjukkan pengorbanan Cikgu Harry itu tular sejak bulan lalu dan turut mendapat perhatian netizen di Facebook.
Beliau bagaimanapun berkata tidak mengetahui video yang dirakam seorang guru yang turut serta bersamanya membeli peti ais itu di pekan Donggonggon tular sebelum ini dan hanya mengetahu perkara tersebut pada minggu lalu.
Menerusi temu bual bersama Harian Metro itu juga, Harry memberitahu peti ais itu dibeli melalui hasil sumbangan oleh guru di sekolah itu bagi tujuan menyimpan makanan mentah untuk murid-murid yang tinggal di asrama.
Cikgu Harry bukan saja terpaksa memikul peti ais itu di belakangnya tetapi dia juga perlu melalui pelbagai rintangan seperti, sungai, hutan, jambatan kayu dan titi gantung sebelum sampai ke sekolah yang terletak di antara daerah Penampang dan Tambunan.
Dia yang pada kebiasaannya hanya mengambil masa tiga hingga ke lima jam ke sekolah juga berkata perjalanannya membawa peti pada hari itu memakan masa selama tujuh jam.
“Usaha ini sudah lama dirancang kerana tidak mudah untuk mengangkat peti ais dengan keadaan jalan tidak boleh diakses apa sahaja kenderaan.
“Ini kerana laluan untuk ke SK Longkungongon melalui hutan berbukit dan menyeberangi beberapa sungai menyebabkan tiada kenderaan boleh sampai ke situ.
“Namun keadaan itu tidak mematahkan semangat saya dan guru menyediakan yang terbaik kepada murid,” katanya yang mula bertugas di sekolah berkenaan sejak 2017.
Bercerita tentang kesukaran perjalanannya membawa pulang peti itu ke sekolahnya bagaimanapun berkata ianya sangat berbaloi walaupun mengakui sehingga kini masih ada kesan lebam di badannya dari perjalanan itu.
“Memang sangat penat, malah sehingga kini ada kesan lebam di bahu saya.
“Tetapi apabila menatap wajah murid yang gembira melihat peti ais yang saya bawa…semua penat itu hilang,” kongsinya kepada Harian Metro.
Tahukah anda, guru di Malaysia adalah merupakan antara guru yang paling berdedikasi di dunia. Klik pautan di bawah untuk mengetahui dengan lebih lanjut.
Guru Malaysia Tersenarai Sebagai Pendidik Paling Berdedikasi Di Dunia