Real Madrid dilaporkan tidak akan melakukan perubahan drastik dalam skuad mereka menjelang jendela perpindahan akan datang, meskipun berdepan musim yang tidak memenuhi jangkaan.

Menurut laporan media Sepanyol, Mundo Deportivo, pihak pengurusan Los Blancos masih yakin dengan kekuatan asas pasukan sedia ada dan tidak melihat keperluan untuk melakukan revolusi besar.

Sebaliknya, pendekatan yang akan diambil lebih kepada penambahbaikan secara terperinci atau mengubah sedikit gaya permainan di atas padang bagi memperkukuhkan pasukan.

Laporan sama menyebut bahawa, mana mana pengurus yang akan dilantik secara tetap selepas ini harus menerima bahawa 3 nama pemain ini adalah tidak boleh diganggu atau untouchable, mereka tidak boleh dijual.

Mereka ialah Vinicius Jr, Kylian Mbappe dan Jude Bellingham. Real Madrid percaya bahawa, 3 pemain tersebut bukan punca sebarang masalah di kelab itu.

Walaupun kegagalan meraih trofi sering membawa kepada rombakan besar di kelab lain, namun Madrid memilih untuk mengekalkan kestabilan dan kesinambungan projek mereka.

Namun begitu, beberapa perubahan tetap dijangka berlaku. Beberapa pemain berpengalaman seperti Dani Carvajal dan David Alaba dikaitkan dengan kemungkinan meninggalkan pasukan, terutamanya dengan situasi kontrak dan faktor usia.

Selain itu, Dani Ceballos juga dilaporkan berpotensi mencari haluan baharu demi mendapatkan lebih banyak minit permainan.

Dalam masa sama, terdapat juga spekulasi mengenai kemungkinan penjualan pemain bagi menjana dana.

Nama Eduardo Camavinga muncul sebagai antara aset bernilai tinggi yang boleh dipertimbangkan sekiranya kelab memerlukan sumber kewangan tambahan untuk membawa masuk pemain baharu.

Florentino Perez masih lagi yakin bahawa skuad sedia ada adalah cukup bagus untuk jangka panjang.