Aksi persahabatan antara Kedah Darul Aman (KDA FC) menentang kelab Brazil, Santos FC yang dijadualkan berlangsung di Stadium Darul Aman pada 17 Februari ini tidak akan jadi kenyataan.
Ini kerana tidak ada sebarang persetujuan rasmi dari KDA FC berkenaan perlawanan tersebut dan juga wujud salah faham antara pihak pengantara dengan kelab Santos FC.
Baca Juga:
- Kes Saman Fitnah KDA FC, Wartawan Sukan Selesai Cara Baik
- CEO Kedah FC Letak Jawatan Selepas 4 Tahun Berkhidmat
- Sabah Dan Kedah Wakil Malaysia Di Kejohanan Kelab-Kelab Asean 2024
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Shahrul Samsudin menjelaskan pihaknya ada menerima cadangan dari pihak pengantara atau promoter sekitar awal tahun ini berkaitan aksi persahabatan itu namun tidak menyatakan sebarang persetujuan.
“Kami ada menerima pelawaan daripada promoter untuk membawa kelab ternama dari Brazil iaitu Santos FC bagi mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa di Kedah dan diberi tarikh pada 17 Februari.
“Mengikut perancangan awal itu, kami tidak boleh. Kami juga sudah maklumkan tidak bersedia untuk perlawanan sebab kami belum lagi memulakan latihan pasukan dan rancangan latihan kami pula hanya bermula sekitar tarikh berkenaan.
“Namun kami terkejut apabila mendapati pihak Santos FC mengeluarkan jadual perlawanan itu (17 Februari) di laman rasmi kelab berkenaan dua hari lalu.
“Apabila kami bertanya semula kepada pihak promoter berkenaan, beliau memberi maklum balas adanya salah faham berkaitan perancangan yang diatur itu,” katanya.
Saiba mais detalhes em https://t.co/Jo4yoJtEtJ pic.twitter.com/z2E3yDANAs
— Santos FC (@SantosFC) February 1, 2024
Shahrul juga memaklumkan tiada sebarang pengesahan secara hitam putih yang mengatakan pihaknya setuju dan beliau juga tidak pasti bagaimana ‘pengesahan’ itu diterima pihak Santos FC.
“Tidak ada sebarang persetujuan rasmi dari pihak KDA FC dan ianya hanya sekadar jemputan secara mulut daripada pihak promoter atau pengantara.
“Untuk sebarang aksi persahabatan, pihak pengurusan pasti akan rujuk terlebih dahulu dengan pasukan dan dari awal lagi memang kami tidak bersedia pada tarikh yang dicadangkan itu kerana pihak kami (pasukan) belum sempat membuat persediaan latihan.
“Jadi promoter akan maklumkan Santos FC untuk pembatalan aksi perlawanan ini dan dalam masa yang sama, kami tetap menghormati pihak Santos FC yang meletakkan nama kami dalam senarai antara pasukan dalam saingan mereka,” katanya.