Lembaga Pengarah Kedah Darul Aman Football Club (KDA FC) hari ini mengumumkan, Khamal Idris Haji Ali telah meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KDA FC.

Menurut kenyataan rasmi, KDA FC memaklumkan Khamal melepaskan jawatan itu bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaannya selepas empat tahun menabur bakti bersama skuad Sang Kenari.

Baca Juga:

“Peletakkan jawatan ini juga diambil atas rasa tanggungjawab untuk membuka peluang kepada yang lebih berkelayakan dan berkemampuan.

“Ia satu kehilangan besar buat arena bola sepak negeri Kedah di mana kita dapat melihat banyak perkembangan serta pembaharuan yang dilaksanakan sejak dilantik pada pertengahan tahun 2020,” jelas kelab itu.

Khamal dilantik sebagai CEO KDA FC pada bulan Ogos 2020 ketika pasukan Liga Super Kedah di tangga ke-8 dan mengakhiri musim 2020 sebagai Naib Juara Liga Super.

Sepanjang dibawah pentadbirannya, Kedah muncul Naib Juara Liga Super (2020), Naib Juara Liga Super (2021), tangga ke-8 (2022), Separuh Akhir Piala AFC 2022 dan di tangga ke-4 pada musim 2023.

Beliau turut mengetuai kerja serta proses perlesenan kelab yang telah memberikan KDA FC lesen untuk bertanding di Liga Malaysia dan juga Piala AFC selama 3 tahun berturut-turut.

Terdapat khabar angin mengatakan perletakan jawatan itu mempunyai kaitan dengan isu tunggakan gaji yang masih membelenggu skuad KDA FC.

Oktober tahun lalu, KDA FC menerusi pemiliknya, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mengesahkan Sang Kenari memang mengalami masalah tunggakan gaji membabitkan skuad utama Liga Super.