Tidak sampai sebulan selepas penceraian pelakon selebriti, Farid Kamil dan Diana Danielle memaklumkan mereka bakal rujuk semula sebagai pasangan suami isteri.

Tidak hanya nampak lebih mesra bersama, Diana dan Farid memaklumkan sedia ke Mahkamah Yariah untuk menyelesaikan urusan rujuk secepat mungkin.

“Kami akan ke mahkamah secepat mungkin tetapi semua itu perlu dilakukan mengikut proses dan tidaklah tergesa-gesa kerana masih dalam tempoh idah.

“Kami juga masih ada masa. Bukan saya tidak mahu umum rujuk tapi perkara ini membabitkan proses mahkamah,” katanya kepada Harian Metro.

Diana memaklumkan mereka kini dalam fasa untuk memperbaiki diri serta mencari jalan terbaik untuk rumah tangga mereka pada masa akan datang.

“Kami juga tidak pernah berhenti berdoa untuk hubungan ini. Kami juga tidak tahu ini pengakhirannya kerana semua sudah ketentuan Allah S.W.T

“Sekarang ini kami masih dalam fasa mencari jalan terbaik untuk masa depan. Kami mahu membina kembali yang pernah ada sebelum ini.

“Tetapi saya tidak mahu terlalu bercakap mengenai perkara ini kerana perlu ada privasi dalam hubungan kami,” katanya.

Ditanya harapannya pula, kata Diana, pastinya dia mengharapkan hubungan mereka akan terus berkekalan demi kebaikan dua cahaya mata mereka iaitu Muhammad berumur 10 tahun dan Nur Aurora berumur 8 tahun.